PRK Pelangai: Bertanding calon Bebas, Pemuda UMNO Bentong dipecat

Iklan
Ahmad Zahid, Haslihelmy

BENTONG - Pemuda UMNO Bahagian Bentong, Haslihelmy DM Zulhasli, dipecat serta-merta keahliannya daripada UMNO berkuat kuasa pada Sabtu.

Perkara itu disahkan presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas Haslihelmy yang juga ahli UMNO Kampung Sum-Sum, memutuskan bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, demikian ketika diminta mengulas tindakan Haslihelmy yang nekad bertanding atas tiket Bebas pada PRK DUN Pelangai yang dijadual berlangsung 7 Oktober ini.

Sebelum itu, Haslihelmy dilihat tiba di pusat penamaan calon sekitar jam 9.05 pagi.

Iklan

Sebelum ini, media melaporkan, Haslihelmy menyatakan sedia dipecat daripada UMNO dan menegaskan keputusan bertanding diambil bagi memastikan suara rakyat terutama generasi muda di Pelangai didengar.

Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong Datuk Amizar Abu Adam, 50 tahun, anak jati Felda Chemomoi, bagi mempertahankan kerusi tersebut.

Iklan

Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) meletakkan Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Bentong Kasim Samat, 63 tahun, lebih dikenali sebagai Cikgu Kasim bagi memberikan saingan pada PRK berkenaan.

Proses menghantar borang penamaan calon berakhir pada jam 10 pagi. - Awani