Perkasa peranan media arus perdana - Nie Ching

Iklan
Nie Ching beramah mesra dengan peniaga dan orang ramai di Pasar Pagi Merbau, Bandar Putra, Kulai pada Sabtu.

KULAI - Media arus perdana masih memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat sahih kepada masyarakat berbanding media sosial yang kadang-kadang tidak diketahui sumbernya malah berpotensi menjadi berita palsu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, semua saluran media arus perdana melibatkan media elektronik dan media cetak juga perlu mendidik masyarakat supaya tidak menjadi mangsa jenayah siber.

Iklan
Iklan

Justeru, Ahli Parlimen Kulai itu berkata, fungsi media arus perdana perlu terus diperkasa serta dipertingkatkan bagi menangani jenayah siber dan menangkis berita palsu dalam media sosial.

"Jadi kita perlu bergantung kepada media arus perdana, tidak kira Bernama, RTM, Sinar Harian, Astro Awani dan sebagainya supaya kita mendidik rakyat jelata.

Iklan

"Apabila mereka mahu dapatkan informasi itu, mereka perlu dapat daripada sumber yang sah dan bukanlah khabar angin ataupun cerita yang berbentuk desas-desus sahaja. Ini merupakan peranan yang perlu dimainkan semua organisasi media," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan 120 khemah kepada peniaga Pasar Pagi Merbau di Bandar Putra di sini pada Sabtu.

Iklan

Jelas Nie Ching, media juga berfungsi secara dua hala dengan menyampaikan kritikan, ulasan dan hasrat daripada rakyat kepada kerajaan.

Jelasnya, kaedah tersebut agar kerajaan dapat memberi maklum balas dan mengambil tahu permasalahan rakyat.

"Kita perlu mengguna pakai media sebagai saluran untuk kita sampaikan informasi kita, berkenaan hala tuju, usaha dan polisi baru kerajaan dan manfaat program baharu yang dilaksanakan kerajaan.

"Tetapi pada masa sama media juga memainkan peranan penting untuk sampaikan ulasan, kritikan dan hasrat rakyat jelata kepada kerajaan kerana kalau tanpa platform ini bagaimana rakyat ataupun kerajaan ambil tahu tentang suara rakyat jelata," katanya.

Pada Khamis, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menyatakan Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Penerangan (JaPen) perlu memperkukuhkan kerjasama dalam merangka strategi bagi menangkis berita palsu.

Fahmi berkata, selaku agensi di bawah kementerian tersebut, ketiga-tiga agensi berkenaan perlu menjadi barisan hadapan dalam menangkis sebarang maklumat tidak tepat di media sosial dan media arus perdana secara segera.