BENTONG - [DIKEMAS KINI] Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober ini menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas.
Mereka terdiri daripada Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong, Datuk Amizar Abu Adam dari BN, Naib Yang Dipertua Pas Bentong, Kasim Samat (PN) dan Haslihelmy DM Zulhasli, calon Bebas yang akan menggunakan simbol kereta.
Perkara berkenaan diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Pelangai, Datuk Mohammad Shahid Ismail pada jam 10.16 pagi di pusat penamaan calon di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini hari ini.
Mohammad Shahid memaklumkan Amizar, 50, yang diiringi seorang pencadang dan penyokong menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.01 pagi diikuti Kasim, 63, seminit kemudian dan Haslihelmy, 36, pada jam 9.08 pagi.
SPR menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula hari ini sehingga jam 11.59 malam pada 6 Oktober dengan pengundian awal pada 3 Oktober.
Seramai 16,456 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 36 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Terdahulu, Amizar tiba di pusat penamaan calon diiringi penyokong serta Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Kasim yang sebelum ini pernah bertanding di kerusi DUN itu pula diiringi Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
PRK Pelangai, yang pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pahang, diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, 53, dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.
Pada PRU15, Johari yang mewakili BN menang dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan Kasim (PN), Ahmed Wafiuddin daripada Pakatan Harapan (PH) dan calon Pejuang Isa Ahmad.
Komposisi DUN Pahang selepas PRU15 adalah BN dan PN masing-masing mendapat 17 kerusi manakala PH menang lapan kerusi. Kerajaan Pahang terbentuk dengan kerjasama BN dan PH. - Bernama