Bukan semua orang mampu selami maksud al-Quran - Mufti

Iklan
Wan Salim - Foto Bernama

GEORGE TOWN - Al-Quran al-Karim merupakan wahyu Ilahi terakhir dan muktamad yang diturunkan ke atas Nabi Muhammad SAW di dalam bahasa Arab dan dinukilkan oleh ramai perawi dengan lafaz yang sama dari generasi ke generasi sehingga ke zaman hari ini.

Sementara itu, tafsir pula adalah usaha menjelaskan maksud yang terkandung di dalam ayat-ayat al-Quran.

Iklan
Iklan

Oleh demikian, kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, bukan setiap orang mampu menyelami maksud-maksud yang terkandung di dalam kalam Ilahi tersebut.

Jelas beliau, setiap bidang ilmu mempunyai ahli pakarnya tersendiri yang mahir dalam bidang berkenaan.

Iklan

"Ia merupakan sebuah kitab hidayah Ilahi yang membawa manusia ke jalan yang benar serta membimbing mereka ke arah kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Beliau menambah, khazanah ilmu pengetahuan yang tersimpan di dalam al-Quran adalah ibarat lautan yang tidak bertepi dan tidak pernah kering.

Iklan

"Oleh itu, ia tidak boleh dikatakan bahawa tafsirannya telah lengkap dan sempurna pada masa tertentu.

"Sebaliknya ia sentiasa terbuka untuk ditafsirkan dari semasa ke semasa menurut perkembangan ilmu pengetahuan yang dicapai oleh akal manusia," tambahnya lagi.

Wan Salim berkata, bukan semua orang layak untuk mentafsir kitab suci al-Quran yang mana seseorang itu perlu mengambil masa yang lama untuk menguasainya.

"Mungkin sepanjang hayat diperlukan untuk menguasai beberapa bidang ilmu yang berkaitan dengan kitab suci ini termasuk keperluan menguasai selok-belok bahasa Arab daripada aspek nahu, saraf, balaghah dan arudhnya.

"Seseorang itu juga dikehendaki mengetahui 'asbab nuzul' iaitu konteks penurunan sesuatu ayat supaya tafsirannya tidak menyimpang daripada maksud yang sebenar.

"Bagaimanapun, setakat memetik sahaja mana-mana ayat al- Quran tidak mengapa, tetapi untuk mentafsirkannya tidak boleh jika tiada kelayakan," katanya.

Oleh itu, berdasarkan hujah tersebut, Wan Salim menegaskan bahawa mana-mana individu sama ada Muslim atau bukan Islam yang tidak memiliki kelayakan daripada sudut keilmuan yang mencukupi tidak boleh mentafsirkan kitab suci al-Quran.

"Tindakan mereka untuk mentafsir al-Quran iaitu yang tidak memiliki kelayakan, tidak kira sama ada Muslim atau bukan Islam, tidak boleh diterima sama sekali.

"Mentafsirkan al-Quran dengan sewenang-wenangnya seolah-olah mempermainkan kalam ALLAH SWT juga tidak boleh diterima sama sekali. Malah pelakunya boleh didakwa di mahkamah kerana menghina agama Islam," katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How dikatakan membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran dan videonya tular di media sosial.

Susulan itu, polis Perak menyerahkan kepada Bukit Aman untuk menjalankan siasatan lanjut terhadap ahli Parlimen DAP itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilapor berkata, siasatan akan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman susulan laporan asal atau laporan pertama mengenainya dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.