BENTONG - Barisan Nasional (BN) tidak mengambil mudah persaingan dengan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, walaupun memiliki majoriti selesa pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerana itu jentera diingatkan agar melipat gandakan usaha dan melakukan pendekatan sesuai memastikan kerusi DUN Pelangai kekal milik BN.
"Jangan ambil mudah, di atas kertas dulu Datuk Seri Johari mendapat majoriti lebih 4,000 dan calon PH ketika itu dapat 2,000 lebih.
"Atas kertas kita lebih 6,000 undi tapi jangan pernah terlalu yakin sebab pihak lawan telah bermukim di sini, dan menggunakan pendekatan tidak melakukan ceramah besar-besaran.
"Kita mesti mengambil langkah-langkah mendekati pengundi di Pelangai," katanya ditemui di Pusat Penamaan Calon PRK DUN Pelangai di Dewan Orang Ramai, Felda Kemasul di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kaedah luar biasa akan digunakan bagi memenuhi kehendak pengundi DUN Pelangai bagi memastikan kemenangan seperti di DUN Simpang Jeram, Johor.
Katanya, usaha tersebut juga akan didorong oleh keserasian dalam kalangan parti lain di dalam Kerajaan Perpaduan.
"BN menaruh harapan tinggi agar calon yang kita pilih ini dalam kalangan orang Pelangai dan beliau juga anak Felda," katanya.
PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.