PRK Pelangai: Pembangunan, keperluan anak muda fokus calon bertanding

Iklan
Dari kiri; Amizar, Kasim dan Haslihelmy ketika nama diumumkan di pusat penamaan calon di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul. - Foto Bernama

BENTONG - Aspek pembangunan, kehendak dan kebajikan golongan muda menjadi antara tumpuan utama calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam.

Amizar, 50, berkata, selain meneruskan segala perancangan pembangunan dan agenda yang telah diatur penyandang kerusi itu Allahyarham Datuk Seri Johari Harun, hal-hal yang berkaitan dengan anak muda akan menjadi manifesto tambahan buatnya.

Iklan
Iklan

"Saya nak fokus pada anak muda, saya kira banyak program pembangunan, aktiviti dan peluang yang boleh kita sediakan untuk memperkasakan golongan belia di kawasan ini,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon PRK Pelangai di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini hari ini.

PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Amizar, calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli.

Iklan

Sementara itu Kasim, 63, berkata, beliau berhasrat membawa isu pembangunan khususnya mengenai infrastruktur jalan raya di Pelangai yang menurutnya ketinggalan berbanding DUN lain di Pahang, sekiranya diberikan mandat oleh rakyat.

Beliau pada masa sama menzahirkan keyakinan pengalaman sebagai bekas guru di sekolah menengah dan kolej vokasional mampu memberikan kelebihan kepadanya dalam memenangi undi anak muda.

Iklan

Bagi Haslihelmy, 36, beliau mahu memperjuangkan nasib anak muda terutama generasi kedua dan ketiga Felda di dalam kawasan Pelangai.

"Biarpun saya tidak mempunyai jentera yang besar tapi kita akan mula bergerak untuk kemenangan, saya akan buktikan,” katanya yang menggunakan simbol kereta.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 7 Oktober ini manakala 3 Oktober sebagai tarikh pengundian awal.

Seramai 16,456 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 36 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Daripada jumlah itu, terdapat 7,639 pengundi berusia 18 hingga 39 tahun di DUN berkenaan berdasarkan statistik daftar pemilih SPR. - Bernama