BERA - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan perasmian Jambatan Guai di Kampung Seberang Guai di sini hari ini.
Seri Paduka Baginda juga berkenan supaya jambatan merentangi Sungai Pahang sepanjang 770 meter dengan jalan tuju 799 meter yang bernilai RM98.5 juta itu dinamakan sebagai Jambatan Al-Sultan Abdullah.
Al-Sultan Abdullah bertitah, pembinaan jambatan itu diharapkan bukan sahaja menjadi penghubung dua tebing perairan atau pengukuh silaturahim, namun juga sebagai pembawa kemajuan ke kawasan yang dihubungkan.
"Dengan terbinanya jambatan ini, kita dapat menuju ke Chenor, dan di sana juga ada satu jambatan besar, tapi sedih sedikit (kerana) di Chenor dan kawasan sekitarnya seperti Kampung Nyak dan Kampung Pesagi tidak dapat dimajukan dengan pantas.
"Namun harap harap, dengan adanya jambatan (baru) ini, akan ada sedikit paradigma baru. Adakan usaha dan program... tentukan setiap kemudahan asas mencukupi dan ada kemudahan yang boleh menggalakkan kegiatan (seperti) pertanian. Kalau ini dapat diusahakan, Insya-Allah setiap kampung dapat dimajukan," titah Seri Paduka Baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Titah Diraja semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Jambatan Guai. Turut berangkat ialah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah; Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera.
Selain itu, Al-Sultan Abdullah juga menitahkan supaya pembinaan jambatan baru Temerloh dekat sini, yang sedang berjalan dapat disiapkan secepat mungkin bagi mengatasi kesibukan Jambatan Sultan Ahmad Shah.
Seri Paduka Baginda juga secara peribadi menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak terlibat dalam pembinaan Jambatan Guai, yang siap pada 30 November 2021 dengan kelulusan projek diperoleh pada 2016 menerusi peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Al-Sultan Abdullah bertitah, Jambatan Guai dibina susulan kejadian banjir pada tahun 2014 yang telah memutuskan hubungan jalan raya sembilan kampung yang dihuni kira-kira 1,200 penduduk.
"Marilah kita menjadikan jambatan ini sebagai simbol dan mercu tanda yang menjadi bukti penghubung antara beta dengan rakyat, antara istana dengan masyarakat, kerana sesungguhnya raja itu tempatnya rakyat menumpang teduh," titah Seri Paduka Baginda.
Selain itu, Seri Paduka Baginda juga menitahkan supaya KKDW sebagai sebuah kementerian yang menerima peruntukan yang besar, dapat memberi keutamaan kepada projek pembangunan untuk penduduk luar bandar. - Bernama