Malaysia miliki segala yang perlu untuk bangkit sebagai ekonomi dinamik - Anwar

Iklan
Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Malaysia mempunyai potensi amat besar untuk bangkit kembali sebagai sebuah ekonomi dinamik kerana negara mempunyai sumber yang diperlukan, tenaga kerja berkelayakan selain asas ekonominya yang kukuh, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan juga telah merangka satu siri dasar, iaitu Ekonomi Madani, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) untuk menyokong matlamat ini.

Iklan
Iklan

"NETR yang terdiri daripada projek pemangkin bernilai RM25 bilion merupakan rancangan unik untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bagi tenaga boleh baharu dan teknologi hijau," katanya pada majlis makan malam bersama diaspora dan pelajar Malaysia di New York, Amerika Syarikat.

Anwar berkata, NIMP 2030 bukanlah olahan semula daripada rancangan lama tetapi merupakan peralihan daripadanya dengan memfokuskan kepada misi tertentu dan teras baharu.

Iklan

"Minggu lalu, kami telah meluluskan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) yang mana bukan sekadar semakan biasa rancangan yang lama.

"Ia adalah anjakan penekanan, anjakan dasar, anjakan hala tuju dengan mengambil kira dasar tadbir urus baik kerajaan baharu, akauntabiliti demokratik dan mahu menggerakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang berjaya dari segi ekonomi, sosial, pendidikan,” kata Perdana Menteri.

Iklan

Rakyat Malaysia boleh main peranan penting promosi perdagangan dan pelaburan Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, sebagai sebuah negara perdagangan, kejayaan Malaysia sangat bergantung kepada keupayaannya dalam mempromosikan pelaburan dan memastikan kesinambungan perdagangan.

"Di sinilah anda memainkan peranan. Kita mahu setiap rakyat Malaysia di Amerika Syarikat menganggap diri mereka sebagai duta Malaysia, mewakili semangat Malaysia baharu dan komited kepada cita-cita kita.

"Anda harus menggalakkan rakan sekerja anda, rakyat Malaysia dan warga Amerika, untuk memahami dan mengenali Malaysia. Ini akan menjadi misi anda, dan saya berada di sini malam ini untuk merayu kepada anda, duta muhibah, untuk memberi tumpuan kepada mempromosikan perdagangan dan pelaburan,” katanya kepada kira-kira 1,000 diaspora dan pelajar Malaysia yang hadir pada majlis makan malam tersebut.

Perdana Menteri berkata, walaupun mungkin ada sebahagian daripada diaspora sudah lebih 40 tahun menetap di Amerika Syarikat, namun beliau yakin mereka masih mahu melihat Malaysia berjaya.

"Impian kita, impian saya dan impian anda adalah untuk memastikan Malaysia bangkit semula. Dan ingin saya zahirkan dari lubuk hati saya bahawa saya menaruh kepercayaan dan keyakinan penuh terhadap rakyat Malaysia.

"Walaupun ada antara anda berkata, saya telah berada di sini sejak 40 tahun lalu, ada yang mengatakan 20 tahun, tetapi anda adalah rakyat Malaysia yang sejati, yang cintakan negara dan mahu negara ini berjaya,” katanya.

Anwar menghadiri majlis makan malam tersebut dengan ditemani isteri beliau Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir ialah Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa; Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Datuk Dr Ahmad Faisal Muhamad dan beberapa ahli Parlimen serta pegawai kerajaan.

Anwar, yang tiba di New York pada Rabu, terdahulu hari ini menyampaikan Kenyataan Malaysia pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-78.

Terdapat kira-kira 25,000 rakyat Malaysia yang menetap di AS. - Bernama