KUALA LUMPUR - Pelan strategi di bawah Dasar Orang Kurang Upaya (OKU) dalam 15 bidang sedang giat dilaksanakan bagi memastikan golongan itu mendapat kesaksamaan hak dan peluang bagi penyertaan penuh dalam masyarakat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, antaranya ia berkaitan advokasi, kesihatan, pemulihan, aksesibiliti, pendidikan, pekerjaan, dan penyelidikan.
"Rancangan kementerian saya untuk tahun ini termasuk menjalankan dua kajian mengenai OKU, khususnya mengenai peluang pekerjaan untuk OKU dan sistem sokongan untuk penjaga OKU.
"Program yang dijangka bermula tahun depan ini akan membolehkan penjaga terbabit menjadikan tugas itu sebagai kerjaya dan bukan lagi sekadar sukarela dengan Institut Sosial Malaysia akan menjadi agensi utama bagi membantu kementerian memberikan kursus dan latihan tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian sempena majlis Anugerah Pencapaian Kecemerlangan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) 2021/2022, di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Jabatan Pembangunan OKU di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Zuhami Omar.
Nancy berkata, berdasarkan data JKM pada Julai lalu, seramai 663,650 OKU telah berdafftar di negara ini dengan 57,043 daripadanya dalam kategori OKU penglihatan.
Dari segi pekerjaan, beliau berkata, terdapat 0.31 peratus atau hampir 3,800 OKU telah dilantik ke pelbagai jawatan dalam perkhidmatan awam sehingga akhir tahun lepas.
Perkembangan itu selaras dengan dasar pengambilan satu peratus OKU di sektor awam yang diperkenalkan pada 1988, menggariskan tindakan afirmatif yang harus diambil oleh kementerian, agensi, dan pihak berkuasa tempatan bagi menjayakan perkara itu.
"Bagi kementerian saya, kami telah melepasi sasaran satu peratus dengan 144 jawatan (1.77 peratus) diisi oleh OKU, daripada 8,138 jawatan," katanya.
Bagi pelajar cacat penglihatan pula, Nancy berkata, bilangan mereka di sekolah inklusif adalah kurang namun berharap ia bertambah baik pada masa depan.
Pada majlis itu, seramai 19 OKU menerima anugerah bagi menghargai usaha cemerlang mereka dalam bidang masing-masing antaranya berkaitan pendidikan, keusahawan dan sukan. - Bernama