SHAH ALAM - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memastikan Malaysia tidak ketandusan ‘talent pool’ atau modal insan dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) bagi menampung permintaan industri berasaskan teknologi.
Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, bagi memastikan usaha tersebut tercapai pihaknya melalui Pusat Sains Negara (PSN) mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan Kembara Sains Borneo (KSB) Siri 2.
Katanya, inisiatif itu diadakan bertujuan merapatkan jurang pembudayaan sains dalam kalangan anak-anak muda sekali gus meningkatkan populariti STI.
"Ia membolehkan anak-anak muda merebut peluang ekonomi dalam bidang STI jika terlibat dengan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) pada peringkat awal.
"Peluang-peluang pekerjaan dalam bidang STI mampu melonjakkan pendapatan individu dengan tawaran gaji yang lumayan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah Arthur, kerajaan telah berjaya menarik perhatian syarikat gergasi teknologi luar seperti Infineon Technologies AG, Tesla, AWS dan banyak lagi untuk melabur di Malaysia.
"Secara tidak langsung, ia akan membawa peluang pekerjaan dalam bidang STI untuk diisi warga tempatan," katanya.
Beliau turut yakin dan percaya program tersebut akan mencapai sasaran yang telah ditetapkan.
"Parlimen Kalabakan merupakan lokasi kedua dalam Kembara Sains Borneo Siri 2. Sebelum ini program tersebut telah menjelajah Parlimen Kimanis pada 15 September 2023 yang lalu dan berjaya menarik seramai 10,212 pengunjung.
"Melihat kepada sambutan yang meriah di Parlimen Kimanis dan Kalabakan, MOSTI percaya sasaran yang ditetapkan pada awal penganjuran program ini dengan kehadiran seramai 20,000 pengunjung akan dapat dicapai," jelasnya.