SHAH ALAM - Pelakon, Datin Anne Ngasri menzahirkan kesyukuran atas pelantikannya sebagai Timbalan Pengerusi GiatMara baru-baru ini.
Menerusi perkongsikan di laman Instagram miliknya, pemilik nama penuh Ngasriah Ngasri itu turut berterima kasih kepada semua pihak yang sentiasa mendoakan dirinya.
Bagaimanapun, pelakon yang terkenal dengan drama 'Cili Padi' itu tidak memperincikan tarikh sebenar pelantikan tersebut.
"Alhamdulillah, menjadi sebahagian keluarga besar GiatMara Malaysia...kenangan indah bersama melakar sejarah di Majlis Konvokesyen Graduasi GiatMara ke-36 Zon Pantai Timur 2023.
"Syukur Ya ALLAH dan terima kasih pada yang selalu mendoakan saya. Saya juga doakan semua dilindungi dan diberikan yang terbaik sepanjang perjalanan yang mendatang," katanya.
Difahamkan, majlis berkenaan berlangsung di Duyong Marina & Resort, Terengganu pada 20 September lalu.
Lebih 30 tahun mencipta nama, figura berusia 38 tahun itu kini beralih dari pentas lakonan ke politik.
Anne yang juga ibu kepada lima cahaya mata kini bergelar Exco Wanita UMNO Malaysia.
Profesion politik wanita hebat itu dilihat bermula dan aktif selepas beliau bertemu jodoh kali kedua bersama Datuk Mohd Sumali Reduan pada 2012
Baru-baru ini, adik kepada pelakon Bell Ngasri dan Darling Ngasri itu menerima kurniaan Darjah Kesatria Mangku Negara.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan darjah kebesaran berkenaan dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan.