KLANG – Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang berjaya merampas sebanyak 1,251 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM307,382.82 dalam satu operasi di Jalan Banting Klang, Telok Panglima Garang, dekat sini petang semalam.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Mohd Khairuddin Jamal berkata, pihaknya turut merampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard yang digunakan untuk membawa rokok terbabit.
Menurutnya, dalam operasi kira-kira jam 5 petang itu, pihaknya mengesan MPV berkenaan dipandu dalam keadaan mencurigakan.
"Menyedari diekori, pemandu MPV terbabit memecut laju ke arah Klang untuk melarikan diri.
"Selepas dikejar selama 10 minit, pemandu MPV bertindak memandu ke arah jalan tidak berturap di Taman Bandar Bestari.
"Bagaimanapun, suspek bertindak keluar dari kereta selepas menyedari telah memasuki jalan mati dan berjaya melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurutnya lagi, pemeriksaan ke atas MPV mendapati, sejumlah rokok tidak bercukai pelbagai jenis disimpan di bahagian tempat duduk penumpang.
"Kenderaan dan rokok berkenaan telah dirampas dan dibawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang bagi siasatan lanjut.
"Nilai keseluruhan rokok dan MPV yang dirampas dianggarkan RM372,382.82 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967,” katanya.
Mohd Khairuddin berkata, pihaknya akan terus menggandakan operasi mencegah penyeludupan sempena musim perayaan ini.
"Justeru masyarakat diminta tampil memberikan maklumat jika terdapat sebarang aktiviti menyalahi undang-undang dilakukan di persisiran pantai dan perairan negara,” katanya.