SKUAD Johor Darul Ta'zim (JDT) mengesahkan slot ke separuh akhir Piala Malaysia apabila menewaskan Negeri Sembilan FC, 4-1 (agregat 7-1) pada aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada malam Sabtu.
Biarpun beraksi tanpa kelibat beberapa pemain utama, namun skuad Harimau Selatan itu tetap berjaya mempamerkan aksi bertenaga di sepanjang perlawanan.
JDT bermula garang sebaik wisel permulaan dengan mengasak hebat ke gawang pelawat bagi membuka jaringan.
Hasilnya, penyerang import, Bergson Da Silva berjaya meloloskan diri daripada kawalan benteng pertahanan sebelum menanduk masuk gol pembukaan pada minit ke-6.
Gol itu semakin menyemarakkan semangat kesebelasan JDT untuk mengatur asakan ke gawang pelawat bagi menambah jaringan.
Hasilnya, Bergson sekali berjaya melepasi kawalan pertahanan lawan sebelum menanduk masuk gol kedua perlawanan pada minit ke-11.
JDT kian mengukuhkan kedudukan apabila pemain import, Juan Muniz menjaringkan gol ketiga pada minit ke-29.
Ketinggalan 0-3 bagaimanapun nyata tidak melemahkan semangat kesebelasan Negeri Sembilan FC untuk mengatur serangan balas ke gawang JDT.
Usaha mereka berhasil apabila menyaksikan pemain pertahanan skuad Hobin Jang Hobin, Mohamad Zamri Pin Ramli merembat kencang menewaskan Farizal Marlias untuk gol pertama pelawat pada minit ke-39.
Bagai mendapat semangat baharu, skuad Jang dilihat semakin hebat mengasak ke gawang JDT bagi menambah jaringan, namun tiada jaringan tambahan berjaya dihasilkan hingga tamat babak pertama.
Bersambung babak kedua menyaksikan Negeri Sembilan FC mula mengatur asakan ke kubu JDT bagi menambah gol.
Bagaimanapun, usaha berkenaan dilihat gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan tuan rumah.
Hasil satu serangan balas, JDT hampir menambah jaringan pada minit ke-54, namun lorongan Akhyar Rashid berjaya ditampan kemas penjaga gol Negeri Sembilan FC, Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhli.
Perlawanan selepas itu dilihat lebih banyak berlegar di tengah padang dengan kedua-dua pasukan dilihat cuba melepasi benteng pertahanan lawan dalam usaha menambah jaringan.
Di penghujung perlawanan, kedua-dua pasukan dilihat terus buntu untuk menambah jaringan, namun hasil satu serangan balas, pemain gantian, Fernando Forestieri menyumbat gol keempat, sekali gus memuktamadkan kemenangan skuad Harimau Selatan.