SRI Pahang tidak akan menyerah awal dan berjanji akan bangkit dalam perlawanan timbal balik suku akhir Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur (KL) City di Stadium Darul Makmur pada Ahad.
Pengendalinya, Fandi Ahmad berkata, peluang masih terbuka apatah lagi KL City hanya membawa bekalan tipis satu gol ke laman keramat Sri Pahang.
Iklan
Iklan
"Bagi saya peluang masih terbuka walaupun KL City sebuah pasukan yang bagus, tetapi kita yakin dengan pasukan kita sendiri.
"Dalam masa sama, kita tidak boleh buat silap yang akan menyebabkan kita dihukum dengan jaringan gol lawan," katanya.
Sri Pahang terpaksa akur tewas tipis 0-1 kepada KL City dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur minggu lalu.
Dalam pada itu, Fandi mengakui pasukannya berdepan masalah kecederaan dan penggantungan sekali gus memberikan kesan kepada pasukan.
"Ketika ini, Shamie mengalami kecederaan pada buku lali ketika latihan, manakala Ingreso digantung kerana mengutip dua kad kuning," katanya.