SHAH ALAM - Individu bujang dan berkeluarga memperuntukkan antara RM200 hingga RM2,500 sebulan untuk perbelanjaan makan di restoran dengan mengambil kira kenaikan harga barang basah ketika ini.
Berdasarkan tinjauan Sinar Harian, mereka berpendapat jumlah wang yang dikeluarkan untuk makan di kedai adalah tidak jauh berbeza berbanding kos memasak di rumah.
Bagi individu bujang yang bekerja dalam sektor swasta, Muhamad Amirul Adha Sabri, 24, berkata, dia yang tinggal sendirian di Shah Alam berbelanja sehingga RM420 sebulan untuk makan di luar.
"Saya hadkan sehari tak lebih RM15 untuk beli nasi dan lauk. Jadi belanja sebulan dalam RM420.
"Kosnya lebih kurang sama saja kalau beli ayam, telur, minyak atau beras dan lain-lain untuk masak di rumah," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Seorang pekerja swasta, Salsabila Syarulnizam, 24, berkata, dia pula berbelanja antara RM200 hingga RM450 sebulan bagi tujuan sama.
Jelasnya, perbelanjaan bertambah pada hari bekerja untuk membeli sarapan dan makan malam selain membuat pesanan makanan secara dalam talian ketika cuti hujung minggu.
Sementara itu, seorang suri rumah, Nurmizan Afiffah Mohamad Amin, 29, berkata, dia bersama suami dan seorang anak memilih untuk makan di kedai pada setiap hari dengan anggaran perbelanjaan RM700 sebulan.
"Selalunya pada hari bekerja, kami pergi kedai yang dekat sahaja selepas waktu Maghrib supaya boleh balik awal dan suami tidak terlalu letih lepas kerja.
"Pada hujung minggu pula, baru kami makan di restoran yang jauh sikit dari rumah,” ujarnya.
Menurut seorang pekerja swasta juga ibu kepada dua orang anak, A’ina Mardhiyah Mohammad, 31, keluarganya akan makan di kedai atau bungkus lauk pada setiap hari dengan purata belanja RM 1,500 sebulan.
"Kalau di Johor Bahru, beli sarapan RM10 untuk nasi lemak dan kuih. Makan tengah hari dalam RM20 di kedai dekat dengan pejabat sebab sini kawasan tumpuan warga Singapura.
"Sebab tak ada masa untuk memasak, saya rasa lebih mudah bungkus lauk,” ulasnya yang mempunyai dua anak berumur empat dan satu tahun.
Seorang pesara kerajaan, Kamariah Abdul Manap, 59, memberitahu, makan di kedai adalah lebih menguntungkan dengan berbagai pilihan menu.
"Saya tinggal bersama suami, dua anak, menantu dan seorang cucu. Jadi masing-masing ada cita rasa berbeza.
"Perbelanjaan secara kasar makan di kedai untuk sebulan dalam RM2,200 tapi bukan setiap hari kerana saya akan masak pada hujung minggu,” jelasnya.
Bagi seorang guru sekolah rendah, Rosmaya Abdullah, 56, dia memilih untuk membeli lauk di kantin sekolah kerana jadual kerja tidak menentu
"Jadi saya akan bawa pulang lauk-pauk dan hanya masak nasi di rumah. Sebulan belanja dalam RM2,500 untuk lapan ahli keluarga” katanya.