KUALA TERENGGANU- Seorang tukang proses ayam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas dua pertuduhan merogol kekasihnya pada April lalu.
Tertuduh, Othman Safarid Ismail, 20, dari Kampung Lak Lok, Besut, bagaimanapun mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana merogol.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 15 tahun di sebuah rumah di Kampung Tok Motong Lak Lok Mukim Pelagat, Besut, antara jam 9 pagi hingga 12 tengah hari, pada 27 April lalu.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mengulangi perbuatan sama terhadap mangsa di lokasi sama, kira-kira jam 11.45 malam, pada 28 April lalu.
Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan dua kesalahan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana merogol.
Bagi kesalahan itu, dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud di hadapan Hakim Wan Azimah Yaacob manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Sejurus pengakuan salah direkodkan, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 sementara menunggu laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan 24 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.