LUMUT - Taktik sindiket membeli minyak diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak sekitar Manjung untuk dijual semula di pasaran gelap gagal, apabila stor penyimpanan barang kawalan itu diserbu pihak berkuasa pada Sabtu.
Serbuan Op Tiris 2.0 sekitar jam 8.30 malam itu dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Manjung di Kampung Acheh dekat Sitiawan.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan dilakukan selepas menerima maklumat berhubung aktiviti pembelian minyak diesel oleh sebuah lori yang telah diubah suai.
"Hasil jejak ke atas kenderaan tersebut membawa penemuan sebuah stor simpanan haram yang mempunyai tangki simpanan dan beberapa peralatan yang lain yang digunakan untuk mengepam minyak.
Menurut beliau, dua pemandu lori berusia 44 dan 62 tahun yang berada di lokasi kejadian turut ditahan untuk siasatan.
"Kedua-dua lelaki tersebut ditahan berikutan gagal mengemukakan lesen CSA (Control Supply Act) bagi borong atau runcit atau permit barang kawalan berjadual minyak diesel.
"Siasatan mendapati sindiket ini telah mengaut keuntungan berlipat kali ganda kerana membeli minyak dibeli pada harga subsidi iaitu RM2.15 per liter sebelum dijual semula di pasaran gelap dengan harga komersial atau industri," katanya.
Kamalludin berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974.