KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita dikenali sebagai Qistina Lim.
Majlis perkahwinan itu dikongsikan di Facebook individu bernama Mohammad Izzat Hassan memperlihatkan gambar persandingan, keluarga dan tetamu yang hadir.
"Selamat datang kak long Qistina dalam keluarga kami. Semoga mendapat mawaddah, rahmah dan kekal sehingga ke jannah," katanya.
Majlis resepsi perkahwinan Musa dilaporkan diadakan di sebuah hotel di Shah Alam, Sabtu malam.
Selain itu, pendakwah selebriti, Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar turut membuat siaran langsung Facebook yang berdurasi dua minit 18 saat berkaitan majlis resepsi pasangan mempelai itu.
Beberapa pengguna Facebook yang menonton siaran langsung itu mengucapkan tahniah dalam masa sama mendoakan rumah tangga pasangan itu berkekalan.
Musa sebelum ini berpisah dengan isterinya selepas Elly Afizahwati Abdul Jalil, 42 memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah pada 30 Mac lalu.
Permohonan cerai itu difailkan kerana faktor shiqaq atau perbalahan berpanjangan dengan Musa yang dikahwininya sejak 10 tahun lalu. - Awani