PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri Kelantan mencatatkan kejayaan terbesar tahun ini melalui penahanan 43 nelayan asing warga Vietnam bersama rampasan empat bot dan peralatan menangkap ikan bernilai RM3.8 juta pada Khamis lalu.
Kesemua suspek lelaki berusia 16 hingga 61 tahun itu ditahan pada jam 8.18 pagi hingga 2.50 petang di lokasi kira-kira 125 hingga 150 batu nautika daripada muara Tok Bali dekat sini.
Pengarah Operasi negeri Kelantan, Komander Maritim Khairun Dalilah Baharin berkata, operasi dilakukan Kapal Maritim Amanah (KM Amanah) ketika melaksanakan rondaan di sempadan perairan Malaysia-Vietnam pada Op Damai, Op Khas Kuda Laut, Op Naga Barat dan Op Tiris.
Menurutnya, semasa hendak ditahan, mereka tidak memberikan kerjasama dengan menghimpit bot penguat kuasa dan cuba melarikan diri ke sempadan perairan negara apabila diarah untuk berhenti.
"Mereka cuba melarikan diri menyebabkan penguat kuasa bertindak memintas dan menghentikan bot-bot berkenaan untuk menahan anak-anak kapal serta tekong-tekong,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia negeri Kelantan pada Ahad.
Khairun Dalilah berkata, rampasan turut melibatkan hasil tangkapan laut iaitu ikan yang dianggarkan seberat 6,000 kilogram (kg).
Tambahnya, mereka disyaki melakukan aktiviti perikanan secara haram di perairan negara dan akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan negara oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
"Empat tekong juga disyaki melanggar Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal memaklumkan kepada pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel ketika memasuki perairan perikanan Malaysia.
"Proses membawa balik bot tahanan mengambil masa lebih 30 jam apabila salah sebuah bot itu mengalami kerosakan dan terpaksa ditunda sebelum tiba di Jeti Maritim Kelantan pada jam 4 pagi Jumaat untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan pembabitan nelayan tempatan yang bertindak sebagai mata-mata atau tonto membocorkan maklumat serta pergerakan pihak berkuasa Malaysia.
Bagaimanapun, Khairun Dalilah berkata, pihaknya mampu mengatasi perkara itu dan dibuktikan dengan keseluruhan 17 tangkapan bot nelayan Vietnam sepanjang tahun ini.
"Dalam tempoh itu juga, seramai 137 nelayan dan tekong warganegara berkenaan berjaya ditangkap," ujarnya.