KUALA LUMPUR - Seramai 8,000 pelabur berdepan risiko gagal mendapat wang pelaburan RM600 juta selepas syarikat penyedia skim berkenaan berhasrat menukar pulangan keuntungan kepada saham pemilikan bersama.
Salah seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Tan, 42, berkata, mengikut perjanjian asal, tarikh matang skim pelaburan minyak sawit itu selama lapan tahun namun pelabur diberi pilihan untuk berhenti awal selepas lima tahun.
Menurutnya, pelabur akan memperoleh dividen lapan peratus setiap tahun yang dibayar empat kali setahun sehingga tempoh matang.
Bagaimanapun katanya, pelabur mula menghadapi masalah mendapat dividen sejak awal tahun ini menyebabkan ada dalam kalangan mereka telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan polis selepas rasa ditipu oleh pelaburan terbabit.
"Patutnya tarikh matang pelaburan pada 2022 tetapi sehingga kini belum dapat pulangan penuh. Saya masih berhubung dengan syarikat tersebut, namun mereka banyak berdalih berhubung isu ini," katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat DUN Teratai pada Ahad.
Turut hadir, ADUN Teratai, Yew Jia Haur dan beberapa mangsa pelaburan sama.
Tan mengakui sedih dengan kejadian itu, apabila ibu serta adiknya turut membuat pelaburan sama dengan keseluruhannya berjumlah RM900,000.
"Kami sedih kerana wang ini adalah peninggalan ayah tapi benda sudah berlaku. Kami perlu meneruskan kehidupan dan fikir apa yang boleh dilakukan selepas ini.
"Saya harap lebih ramai mangsa tampil dan menyedarkan masyarakat supaya tidak terpengaruh dengan skim ini. Kebanyakan mangsa merupakan peniaga kecil dan pesara," ujarnya.
Seorang lagi mangsa, Jenny Kha, 35, berkata, pelabur tidak berpuas hati apabila syarikat terbabit membuat keputusan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 27 September ini di Sabah yang berkemungkinan pelabur dari Semenanjung Malaysia tidak dapat hadir disebabkan masalah kos serta jarak.
"Syarikat cadang adakan AGM (Rabu) ini untuk tukar wang pelaburan ke saham pemilikan bersama yang tiada lagi jaminan atas pulangan.
"Pelabur diberi borang untuk melantik wakil hadir mesyuarat tersebut. Menurut wakil syarikat, mesyuarat boleh dijalankan dengan kehadiran 20 orang dan sememangnya keadaan ini tidak adil buat kami," jelasnya.
Jenny yang juga seorang suri rumah telah membuat pelaburan sebanyak RM280,000 hasil diperoleh daripada ahli keluarganya.
"Pelaburan ini diiklankan di surat khabar dan berdaftar dengan SSM selain ada menteri turut bantu memaklumkan bahawa pelaburan ini baik untuk suri rumah dan wanita kerana selepas lapan tahun akan dapat pulangan semula.
"Disebabkan itu saya melabur RM180, 000 pada 2017 sebelum menambah RM100,000 lagi pada tahun berikutnya.
"Pada mulanya setiap tahun dapat dividen, namun dividen mula tidak menerimanya lagi pada Mac dan Jun lepas," katanya.
Sementara itu, Jia Haur berkata, sidang akhbar yang diadakan bertujuan mengumpulkan lebih ramai mangsa atau pelabur yang mempunyai kes sama untuk tampil atau menghubungi di talian 017-4573854.
"Kami berhasrat untuk kumpulkan seramai mungkin mangsa seterusnya menyampaikan aduan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.
"Kami juga akan hantar surat kepada agensi terlibat untuk berkongsi kemas kini perkembangan kertas siasatan sama ada syarikat ini telah diambil tindakan atau sebaliknya," katanya.