Korban kebakaran kilang di Taiwan cecah sembilan orang

Iklan
Dua lagi mayat ditemukan pada Ahad, lebih 24 jam selepas kebakaran kilang dan letupan di sebuah taman perindustrian di Kaunti Pingtung di selatan Taiwan. Foto AFP

PINGTUNG - Dua lagi mayat ditemukan pada Ahad, lebih 24 jam selepas kebakaran kilang dan letupan di sebuah taman perindustrian di Kaunti Pingtung di selatan Taiwan, lapor Agensi Berita Pusat (CNA).

Menurut kerajaan tempatan, setakat 8 pagi Ahad, kejadian di kilang pengeluar bola golf Launch Technologies Co. di Taman Perindustrian Teknologi Pingtung itu telah meragut sekurang-kurangnya sembilan nyawa, termasuk empat anggota bomba, selain mencederakan 98 yang lain.

Iklan
Iklan

Ketua Biro Bomba dan Perkhidmatan Kecemasan daerah itu, Hsu Mei-hsueh, pada Ahad berkata pasukan penyelamat masih berusaha untuk mengesan seorang mangsa yang hilang.

Kebakaran bermula di kilang itu pada Jumaat petang dan api dipadamkan pada 9.56 Sabtu malam, selepas lebih 28 jam usaha memadam kebakaran, menurut biro itu.

Iklan

Empat anggota bomba yang maut semuanya berusia 30-an.

Hsu berkata, biro menerima panggilan kecemasan pada 5.31 petang Jumaat dan anggota bomba tiba di lokasi 12 minit kemudian.

Iklan

Pada pukul 6.09 petang, letupan berlaku selepas anggota bomba memasuki premis itu, menyebabkan sebahagian daripada struktur bangunan kilang runtuh dan beberapa anggota bomba serta pekerja terperangkap di bawah runtuhan.

Beberapa minit kemudian, letupan kedua berlaku, kata Hsu. - Bernama