MELAKA - Satu mayat tanpa identiti ditemukan di Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mayat dipercayai wanita tempatan berusia lingkungan 20-an itu ditemukan orang awam dalam keadaan tertiarap dan terbenam dalam pasir kira-kira 8 pagi tadi.
Iklan
Iklan
"Berdasarkan pemeriksaan awal pada badan mangsa mendapati tidak terdapat kecederaan atau unsur jenayah dan identiti mangsa sedang dikenal pasti menerusi analisis cap jarinya.
"Bagaimanapun kita percaya mangsa merupakan warganegara Malaysia berdasarkan kesan suntikan BCG (Bacillus Calmette Guerin) pada bahunya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian berkenaan diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama