PELUMBA Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa muncul juara saingan peringkat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 sejauh 186.2 kilometer (km), dari Kuala Terengganu ke Aeon Mall, Kota Bharu pada Ahad.
Pelumba Rusia berusia 23 tahun itu, terlebih dahulu melepasi garisan penamat dalam satu kelompok besar dengan mencatatkan masa empat jam 15 minit 14 saat pada perlumbaan berbasikal berprestij Asia itu.
Iklan
Iklan
Keputusan dilakar pelumba itu sekali gus menebus kekecewaannya, setelah mengakhiri saingan peringkat pertama dari Kerteh ke Kuala Terengganu di kedudukan ketiga, pada Sabtu.
"Semalam saya melakukan kesilapan dan meraih tempat ketiga tetapi hari ini adalah keputusan yang saya nanti-nantikan. Saya sangat gembira,” katanya selepas tamat perlumbaan.
Sementara itu, pelumba pasukan Tudor Pro Cycling Team, Arvid de Kleijn dan pelumba Green Project Bardiani CSF-Faizane Enrico Zanoncello, masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga di belakang Syritsa.
Dalam pada itu, de Kleijn kekal menyarung jersi hijau (pendahulu keseluruhan) dan jersi jingga (Raja Pecut), sementara jersi putih (Terbaik Asia) milik pelumba Roojai Online Insurance Tegshbayar Batsaikhan.
Peringkat ketiga dari Jeli ke Baling sejauh 183.1km esok, membabitkan empat zon pendakian di Jeli, Puncak Titiwangsa, Seri Banding serta Sungai Rui selain dua zon pecutan di Jeli dan Tasik Temenggor. - Bernama