'Ramai mengadu tiada bekalan beras, minyak masak, gula dan telur' - Hassan

Iklan
Hassan Abdul Karim

PASIR GUDANG - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menafikan sengaja mencetuskan kebimbangan menerusi kenyataannya bahawa bekalan beras putih tempatan, minyak masak, gula pasir dan telur ayam tiada di daerah ini.

Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian itu berkata, beliau bertanggungjawab dengan kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu apabila mendedahkan masalah tersebut.

Iklan
Iklan

"Ramai mengadu tiada beras, minyak masak, gula pasir dan telur ayam di sini. Antaranya saya bertemu dengan penduduk di Taman Mawar dan komuniti peniaga makanan di Taman Scientex. Mereka perlukan beras tempatan untuk berniaga.

"Mereka kata sudah berbelanja di banyak pasar raya besar di sini tetapi tiada beras tempatan dan yang ada hanya beras import dengan harga mahal," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sukan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4 di sini pada Ahad.

Iklan
Hassan (kanan) bersama para pemenang selepas merasmikan Sukan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4, Pasio Gudang pada Ahad.

Pada Sabtu, Hassan dalam kenyataannya menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengadakan jualan Rahmah di daerah ini bagi mengatasi masalah ketiadaan barang keperluan asas tersebut.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh dalam maklum balas segera pada Sabtu berkata, dua program Jualan Rahmah akan diadakan hujung minggu ini bagi mengatasi masalah itu.

Iklan

Pada Ahad, Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, barang keperluan seperti gula, minyak masak, tepung, telur ayam masih ada dan mudah diperoleh di Pasir Gudang serta menafikan timbul isu kekurangan bekalan barang keperluan sebagaimana tular dalam media sosial.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, pihaknya turun padang kerana menerusi jawatankuasa tersebut dalam sidang akhbar di Parlimen pada Selasa sudah memberi jaminan bekalan beras tempatan cukup di semua tempat.

Namun katanya, apabila meninjau bekalan itu di daerah ini pada Jumaat dan Sabtu, barang keperluan tersebut tidak ada.

"Orang ramai membuat adaun berkenaan masalah berkenaan sekali gus minta diselesaikan.

"Saya hampa kerana semasa taklimat (jawatankuasa itu) cukup cantik (perancangannya) tapi realitinya rakyat susah, dia mengadu dengan saya.

"Masalah ini tidak pernah berlaku di Pasir Gudang. Saya minta kerajaan bertindak dan pantau," katanya.