DIBW 2023 Desaru: Dua lelaki ditahan kes pergaduhan

Iklan
Insiden pergaduhan DIBW 2023 di Pantai Desaru yang tular di media sosial pada Sabtu.Gambar kecil: Kamarul Zaman

JOHOR BAHRU - Polis Johor menahan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan insiden pergaduhan di Desaru International Bike Week (DIBW) 2023 di Pantai Desaru yang tular di media sosial pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kedua-dua suspek berusia 30 dan 50 tahun itu ditahan di Kota Tinggi dan Johor Bahru pada pagi Ahad.

Menurutnya, tangkapan itu dibuat selepas polis mengesan beberapa video tular melibatkan kejadian merusuh dengan menggunakan senjata kayu dan kerusi plastik di Pantai Desaru.

Iklan

"Bagaimanapun anggota polis yang ditempatkan pada acara DIBW 2023 dapat menyuraikan insiden kekecohan itu. Seramai 350 anggota polis ditempatkan sepanjang acara DIBW 2023 selama tiga hari bermula Jumaat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Ahad.

Iklan

Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, insiden kekecohan berkemungkinan berpunca daripada salah faham disebabkan cabar mencabar antara sebuah kumpulan motosikal berkuasa tinggi dari Amerika Syarikat dan sebuah kumpulan tempatan.

"Pelbagai spekulasi dilemparkan berhubung kejadian ini dan siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

"Dipercayai anggota setiap kumpulan motosikal seramai 20 orang. Polis masih mengesan beberapa lagi individu yang terlibat dan meminta mereka yang terbabit menyerah diri atau akan ditangkap," katanya.

Sebelum itu beberapa video tular di media sosial antaranya salah satu video berdurasi 4 minit 25 saat yang memaparkan kejadian pada sebelah siang, kelibat beberapa anggota polis dilihat berjaya mengawal pergaduhan mulut yang berlaku.

Bagaimanapun, menerusi satu lagi video berdurasi seminit 16 saat yang memaparkan kejadian pada sebelah malam dengan keadaan seperti tidak dapat dikawal sehingga berlaku insiden membaling objek termasuk kerusi dalam kalangan perserta.