TUMPAT - Dokong, duku dan langsat yang disedekahkan oleh seorang kontraktor di tanah kebun seluas 0.2 hektar Taman Sri Kebakat, Wakaf Bharu di sini masih banyak untuk dinikmati.
Pemilik kebun berkenaan, Mohd Basir Mohd Isa, 49, berkata, ramai yang sudah datang mengambil buah-buahan tersebut sejak kisah bapa tiga anak itu memberikannya secara percuma disiarkan Sinar Harian pada Sabtu dan menjadi tular.
Menurutnya, dia sangat bersyukur apabila ramai pihak mendoakannya dan masih mengharap lebih ramai yang dapat mengutip buah itu.
Tambahnya, pokok buah-buahan itu berketinggian 20 hingga 30 meter dan memerlukan orang yang mahir untuk memanjat bagi mengutip buahnya.
"Saya masih mengalu-alukan sesiapa sahaja yang sanggup panjat dan ambil buah-buah itu sebelum membazir apabila rosak dan gugur ke tanah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Mohd Basir berkata, pemberian itu tidak terbatas kepada individu sahaja tetapi turut dibenarkan kepada mana-mana kumpulan yang sanggup mengupah orang untuk memanjat dan mengutip buah-buahan tersebut.
Katanya, ada yang sengaja datang pada waktu malam sekitar jam 12 tengah malam hingga 3 pagi bagi mengutip buah berkenaan untuk dinikmati sendiri.
"Mereka saja nak seronok-seronok makan buah dalam kebun. Tak kesah nak datang waktu bila-bila sekali pun, boleh mari kutip buah ini.
"Saya halalkan dengan niat untuk berkongsi rezeki. Lagipun, musimnya sudah nak habis tak lama lagi, mungkin dalam seminggu dua akan habis,” ujarnya.