PM Anwar ketuai delegasi Malaysia ke APEC 2023 di AS

Iklan
Anwar Ibrahim - Foto Bernama

NEW YORK - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, California, Amerika Syarikat (AS) pada November ini.

Selain mesyuarat pemimpin APEC, kalangan pemimpin ASEAN kecuali Myanmar, turut dipelawa bagi mesyuarat berasingan oleh Presiden AS, Joe Biden, kata Anwar kepada media Malaysia di akhir kunjungan empat hari beliau ke New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) kali ke-78.

Iklan
Iklan

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Google iaitu antara syarikat 500 Fortune yang ditemui di New York, turut meminta untuk bertemu beliau pada acara APEC tersebut.

APEC yang ditubuhkan pada 1989, merupakan satu forum ekonomi serantau bagi memanfaatkan kebergantungan yang saling meningkat di Asia Pasifik.

Iklan

Tema APEC kali ini adalah 'Creating a Resilient and Sustainable Future for All' (Mencipta Masa Depan Berdaya Tahan dan Mampan Untuk Semua).

Selain itu, 21 anggota Ekonomi APEC menyumbang hampir 40 peratus daripada penduduk global atau hampir 50 peratus daripada perdagangan global serta lebih 60 peratus eksport barangan AS.

Iklan

Negara anggota APEC tersebut adalah Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong, Malaysia, Indonesia, Jepun, Korea, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Taipei, Thailand, AS dan Vietnam. - Bernama