ASTRO membuat kejutan apabila mengumumkan enam penyanyi yang layak menduduki ‘hot seat’ All Stars Gegar Vaganza berbanding lima tempat ketika sidang media bulan lalu.
Menerusi konsert minggu pertama yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Ahad, enam bekas naib juara, pemenang tempat ketiga dan keempat yang layak terdiri daripada Zamani Ibrahim (GV5), Liza Hanim (GV4), Ezad Lazim (GV2), Suki Low (GV8), Nikki Palikat (GV8) serta Tomok (GV9).
Pemilihan enam penyanyi ini dibuat daripada undian peminat dan telah melengkapkan saingan di All Stars Gegar Vaganza bersama 10 juara daripada sembilan musim terdahulu.
Mereka ialah Ayai Ilusi (GV1), Siti Nordiana (GV2), Azharina (GV3), Aishah (GV4), Noryn Aziz (GV5), Naqiu serta Hady Mirza (GV6), Cliff Umar (GV7), Aliff Aziz (GV8) dan Jaclyn Victor (GV9).
Ke semua peserta akan dinilai oleh barisan juri profesional yang masih diketuai Datuk Ramli MS bersama Datuk Syafinaz Selamat dan penyanyi ikonik Indonesia, Hetty Koes Endang.
All Stars Gegar Vaganza masih mengekalkan format asal penjurian yang diadili berdasarkan sistem pemarkahan 100 peratus oleh barisan juri profesional.
Peserta yang mendapat markah terendah pada setiap minggu akan disingkirkan.
Juara akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM200,000.
Program yang menyaksikan gandingan Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Elly Mazlein selaku pengacara akan bersiaran secara langsung selama 12 minggu menerusi saluran Astro Ria (saluran 104), setiap Ahad, jam 9 malam.