KONTINJEN Malaysia tidak mendapat permulaan yang ideal pada Sukan Asia Hangzhou 2022, apabila beberapa prospek pingat tersasar pada hari pertama pertandingan, sekali gus terpaksa menunggu lebih lagi untuk pingat pertama.
Bekas juara dunia wushu, Wong Weng Son, yang diletakkan harapan untuk menyumbang pingat pertama negara pada kali ini, sekadar menamatkan saingan changquan lelaki pada tempat kedua tercorot dalam kalangan 14 pesaing.
Kemudian, Sydney Chin yang membuat debut Sukan Asia menerusi acara taijiquan+taijijian wanita, telah memberikan prestasi terbaiknya untuk meraih 19.460 mata, yang merupakan pencapaian markah tertinggi peribadinya.
Namun, ia tidak cukup untuk menempatkan juara remaja dunia 2016 itu di atas podium, apabila beliau terlepas gangsa dengan perbezaan 0.016 mata sahaja kepada Chen Suijin (19.476) dari Hong Kong.
Atlet taekwondo, Nurul Hidayah Abdul Karim, seorang lagi atlet beraksi buat kali pertama, terpaksa menahan kekecewaan apabila terlepas slot ke separuh akhir poomsae individu wanita, yang secara automatiknya mengesahkan pingat, selepas diatasi bekas juara dunia Marjan Salahshouri dari Iran dengan perbezaan tipis 0.03 mata pada suku akhir.
Protes daripada kem Malaysia dengan dakwaan atlet dari Iran itu melakukan kesilapan, tidak mampu untuk mengubah keputusan itu.
Kontinjen Malaysia telah mempamerkan prestasi memujikan dalam beberapa acara termasuk gimnas artistik lelaki, Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam, yang beraksi cemerlang untuk meraih tempat keenam pusingan kelayakan, sekali gus mengesahkan tempat ke final acara melombol pada Jumaat ini.
Skuad hoki lelaki yang turun dengan misi meraih pingat emas untuk melayakkan diri ke Olimpik Paris 2024, memulakan kempen mereka dengan membelasah Thailand 9-0 pada aksi Kumpulan B.
Pasukan e-sukan melibatkan permainan Arena Of Valor (AOV) turut mengesahkan slot ke separuh akhir menentang Vietnam esok, selepas menewaskan pasukan Hong Kong 2-0.
Sementara itu, tuan rumah China seperti dijangka melaung amaran awal selepas mengungguli carta pingat dengan merangkul 20 emas, tujuh perak dan tiga gangsa, jauh meninggalkan Korea Selatan (5-4-5) dan Jepun (2-7-5).
Pada hari kedua saingan (25 September), Kontinjen Malaysia akan meneruskan cabaran di gelanggang wushu, renang, menembak, e-sukan dan tinju, manakala skuad hoki wanita serta bola keranjang 3x3 lelaki dan wanita akan membuka kempen peringkat kumpulan. - Bernama