ADUN Dusun Tua difitnah lagi

Iklan
Edry Faizal

HULU LANGAT – ADUN Dusun Tua, Edry Faizal Yusof memaklumkan dirinya sekali lagi difitnah oleh individu yang tidak bertanggungjawab berhubung isu 13 Mei.

Edry Faizal berkata, beliau mendapati sebuah laman sesawang mendakwa dirinya memberi kenyataan berhubung '13 Mei merupakan satu kisah dongeng’.

Iklan
Iklan

"Fitnah ini pernah disebar dalam bentuk poster pada tahun 2017 dan kini kembali berulang.

"Mustahil saya mengatakan sedemikian sedangkan saya membesar dan mendengar kisah-kisah yang berlaku pada 13 Mei daripada mulut ibu datuk dan nenek saya yang mengalami peristiwa berkenaan di Kuala Lumpur.

Iklan

"Sejarah hitam negara seperti itu sepatutnya kita jadikan pengajaran untuk membina Malaysia yang lebih baik dan bukannya bahan mainan seperti yang disebarkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Edry Faizal menegaskan beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian dan menyifatkan fitnah tersebut sengaja dicetuskan pihak tidak bertanggungjawab bagi menimbulkan sentimen kaum dan agama.

Iklan

"Budaya mencipta kenyataan palsu ini jelas bercanggah dengan ajaran Islam dan adab tatasusila orang Melayu.

"Amat menyedihkan apabila propaganda ini mengenepikan ajaran Islam dan tatasusila budaya, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya.

Edry Faizal berkata, masyarakat seharusnya merebut peluang menyebarkan kebaikan pada Ramadan.

"Tindakan pihak yang menyebarkan kebencian dan mengajak 'netizen' mencaci maki tidak menghormati bulan Ramadan ini sangat mendukacitakan.

"Saya menyeru kepada semua agar berhati-hati meneliti berita-berita yang tersebar ini dan sentiasa mengamalkan sikap tabayyun (menyelidik),” katanya.