JOHOR BAHRU - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan India secepat mungkin bagi mencari penyelesaian terbaik dalam isu sekatan eksport beras putih.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, permohonan agar pengeksportan beras putih dari India diteruskan ke negara ini antara yang akan dibincangkan sewaktu bertemu Menteri Pertanian dan Kebajikan Petani India, kelak.
"MAFS kini sedang berhubung dengan kerajaan India untuk mendapatkan tarikh agar pertemuan dan perbincangan tentang import beras dapat dilakukan secepat mungkin.
"Apabila India menyekat import beras putih secara mengejut, ia membawa kesan kenaikan hara beras di negara. Beras basmathi yang tidak dikenakan larangan dan boleh diimport pula, harganya sangat mahal," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penghargaan Petugas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Johor Bahru, pada Ahad malam.
Hadir sama, Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, sekatan terhadap pengeksportan beras putih di India menyebabkan harga beras eksport di negara ini meningkat secara mendadak.
"Stok bekalan beras negara masih mencukupi, cuma jika harga beras import terlalu tinggi menyebabkan orang ramai mencari beras tempatan. Situasi ini menyebabkan berlaku peningkatan mendadak terhadap beras tempatan dan akibatnya berlaku sedikit kekurangan di beberapa tempat.
"Ketika ini juga, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sedang menuai padi dan 20 peratus daripada hasil itu akan dikilangkan untuk menampung keperluan bekalan semasa.
"Terdapat beberapa negara pengeksport beras antaranya Pakistan, Vietnam dan Thailand. Isu kekurangan bekalan beras ini merupakan krisis global yang turut menjejaskan banyak negara namun Malaysia dapat tangani isu kekurangan beras ini dengan lebih baik berbanding negara lain," katanya.
Pada Julai, India dilaporkan telah mengharamkan eksport beras putih bukan basmathi dalam usaha untuk mengelak lonjakan harga domestik yang semakin meningkat.
Hujan lebat telah menjejaskan tanaman di negara ini dan harga beras meningkat lebih daripada 11 peratus dalam tempoh 12 bulan yang lalu.
Pengeksport beras terbesar dunia, India turut dilaporkan mengenakan larangan eksport beras hancur dalam usaha mengawal harga domestik komoditi tersebut.
India ketika ini menyumbang kira-kira 40 peratus eksport beras global, dengan mengeksport ke lebih 150 negara.