PH harap tiga Exco dalam Kerajaan Perpaduan di Johor

Iklan
Aminolhuda

JOHOR BAHRU - Hubungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang kukuh di Johor, diyakini akan diterjemahkan dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri ini.

Timbalan Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, perubahan perlu dilakukan agar wakil-wakil daripada Pakatan Harapan (PH) dapat dilantik sebagai Exco negeri.

Iklan
Iklan

"Saya mengharapkan ada sedikit perubahan atau pendekatan baharu, di mana wakil-wakil dari PH boleh duduk di peringkat kerajaan negeri

"Dari segi kedudukan, mungkin tiga Exco negeri kepada PH, itu sudah baik dan menandakan kerjasama BN-PH di Johor.

Iklan

"Perkara ini belum dibincang secara rasmi, apa-apa pun itu terpulang kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan paling penting perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar," katanya.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu ditemui selepas Majlis Penghargaan Petugas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di sebuah hotel di sini, pada Ahad malam.

Iklan

Hadir sama, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamed Sabu dan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Sri Gading itu berkata, kejayaan diraih pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram hasil kerjasama jitu BN-PH mampu dijadikan sandaran kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan di Johor.

"Saya yakin kejayaan besar pada PRK Pulai dan Simpang Jeram baru-baru ini, hasil daripada kerjasama parti PH dan BN Johor akan disusuli dengan usaha membentuk Kerajaan Perpaduan yang mantap demi kebaikan dan kemajuan rakyat dan negeri Johor.

"Ini harapan rakyat Johor, saya yakin itu juga harapan mereka untuk membuktikan Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional boleh diterjemahkan di Johor," ujarnya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac tahun lalu, Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan dua pertiga selepas memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

PH pula memenangi 13 kerusi iaitu DAP (10 kerusi), PKR, Amanah dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masing-masing satu kerusi.

Perikatan Nasional pula memperoleh tiga kerusi iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dua kerusi dan Pas (satu kerusi).