Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur

Iklan
Gambar hiasan

BURSA Malaysia diniaga bercampur-campur pada sesi awal dagangan Isnin, sejajar dengan prestasi semalaman Wall Street yang lengang pada Jumaat minggu lepas di tengah-tengah petunjuk bercampur-campur pasaran serantau.

Pada jam 9.10 pagi, Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 1.81 mata kepada 1,448.42 dari penutupan Jumaat pada 1,450.23. Indeks utama dibuka pada paras 1,449.83, turun 0.40 mata.

Iklan
Iklan

Pergerakan harga menyaksikan saham untung mengatasi saham rugi 179 berbalas 160, manakala 293 saham tidak mengalami perubahan, 1,767 tidak diniagakan, dan 49 digantung.

Jumlah dagangan 228.28 juta unit bernilai RM97.95 juta.

Iklan

Wall Street meneruskan aliran menurun Jumaat lepas apabila pelabur masih mengambil sikap berhati-hati dengan hala tuju kenaikan kadar faedah.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam satu nota pada Isnin percaya tekanan jualan dijangka menular ke saham-saham di pasaran tempatan.

Iklan

"Namun demikian, kami berpendapat bahawa risiko penurunan sepatutnya terhad kerana pelabur mungkin akan memberi tumpuan kepada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP), serta Belanjawan 2024 dalam bulan yang akan datang," katanya.

Sementara itu, minyak mentah Brent terus susut dari paras tinggi baru-baru ini dan diniagakan di bawah AS$93 setiap tong, manakala harga minyak kelapa sawit mentah mengukuhkan trend penurunannya di bawah RM3,700 setiap tan.

Firma pembrokeran itu turut menjangkakan aktiviti perdagangan akan berkisar di sekitar sektor harta tanah dan pembinaan menjelang Belanjawan 2024, dengan peniaga akan bersiap sedia untuk projek-projek infrastruktur mega yang akan diumumkan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank kekal pada RM8.88, Public Bank menambah satu sen kepada RM4.21, sementara CIMB kehilangan dua sen untuk mencatatkan RM5.57 dan kedua-dua Petronas dan Tenaga Nasional merosot empat sen masing-masing kepada RM7.31 dan RM10.12.

Bagi saham aktif, Land & General dan Ekovest naik setengah sen kepada 14 sen dan 59.5 sen, Puncak Niaga meningkat lima sen kepada 42 sen dan Hextar menokok satu sen kepada 41 sen.

Barakah Offshore merosot setengah sen kepada 5.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 11.29 mata kepada 10,735.61, Indeks FBMT 100 lemah 13.21 mata menjadi 10,394.98, Indeks FBM Emas Syariah merosot sebanyak 16.96 mata kepada 10,990.87, Indeks FBM 70 menyusut 19.34 mata kepada 14,297.74 dan Indeks FBM ACE lemah 5.68 mata kepada 5,203.38.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 3.80 mata kepada 16,216.83, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri berkurangan 0.58 mata kepada 174.25, Indeks Tenaga susut 2.52 mata kepada 904.40 manakala Indeks Perladangan meningkat 3.28 mata kepada 6,930.50. - Bernama