SHAH ALAM - Beberapa laluan melibatkan tujuh daerah di negeri ini akan ditutup serta dilencongkan bagi kejohanan lumba basikal bertaraf antarabangsa, Le Tour de Langkawi (LTDL) pada 27 dan 30 September ini.
Antara daerah yang terlibat adalah Hulu Selangor, Gombak, Shah Alam, Klang Utara, Kuala Selangor, Sungai Buloh dan Ampang.
Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor menerusi kenyataan memaklumkan kejohanan ini akan mengharungi trek perlumbaan melalui beberapa laluan di daerah di dalam Selangor di peringkat lima dan peringkat lapan.
"Pada peringkat perlumbaan yang ke 5, laluan Selangor melibatkan jarak sejauh 87.5 kilometer bermula di Behrang Station, Proton City, Kampung Kerliang, Kerling, Rasa, Kuala Kubu Bharu, Batang Kali, Serendah, Rawang bypass, Jalan Batu Caves (MRR2), Jalan Gombak Lama, dan Genting Sempah.
"Bagi peringkat ke 8, laluan Selangor melibatkan jarak sejauh 152.2 kilometer bermula di Setia Alam Convention Centre, Persiaran Mokhtar Dahari, Puncak Alam, Jalan Bukit Cerakah, Meru, Kapar, Jeram, Sg Buloh, Assam Jawa, Kuala Selangor, Jalan Bukit Belimbing, Jalan Raja Musa, Jalan Rawang, Jalan Bukit Badong, Bestari Jaya, Kampung Sungai Perlong, Paya Jaras, Jalan Kuala Selangor, MRR2, dan Jalan Ampang," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Katanya, kedua peringkat ini akan dilepaskan di dua lokasi berbeza.
"Bagi pelepasan peringkat lima pada 27 September ini, akan dijalankan di Slim River Perak untuk laluan ke Genting Highlands kira-kira jam 10 pagi.
"Untuk pelepasan peringkat lapan pada 30 September akan bermula di Setia City Convention Centre untuk laluan ke KLCC, Kuala Lumpur kira-kira jam 12 tengah hari," katanya.
Menurutnya, orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan anda dan mematuhi arahan anggota polis yang bertugas.