Lebih 15,000 individu ditahan kes jenayah komersil

Iklan
Ayob Khan

KUALA LUMPUR - Seramai 15,786 individu ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah komersil dalam 14,046 operasi dilaksanakan sejak Januari hingga Ogos lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, bagi tempoh sama, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) berjaya memperoleh sejumlah 9,898 pertuduhan.

Iklan
Iklan

"Bagi siasatan kes-kes jenayah pengubahan wang haram pula, sejumlah 117 kes telah dibuka dalam tempoh sama, JSJK telah mengambil tindakan pembekuan pelbagai aset termasuk akaun dan harta bernilai RM106,048,673.73.

"Kita turut mengambil tindakan penyitaan berjumlah RM249,336,174.31, selain itu sebanyak lima kes berjaya dituduh di mahkamah," katanya ketika menyampaikan amanat Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam Perhimpunan Bulanan, di Bukit Aman, pada Isnin.

Iklan

Ayob Khan berkata, trend semasa jenayah komersil memperlihatkan lebih 50 peratus kes yang dicatatkan saban tahun adalah terdiri daripada kes penipuan dalam talian.

Ayob Khan bergambar bersama warga PDRM di Bukit Aman.

"Dalam usaha mengekang dan membanteras jenayah komersil, kita kekal komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif yang telah dirancang melibatkan siasatan, risikan, operasi dan kempen pencegahan," katanya.

Iklan

Beliau berkata, teknologi digital telah merevolusi dunia dan mengubah landskap kehidupan seharian.

"Kemajuan teknologi juga menyumbang kepada kepelbagaian trend jenayah siber, kita perlu bergerak selangkah ke hadapan agar berupaya mendepani cabaran dunia baharu termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

"Tidak dapat dinafikan bahawa, ruang siber yang terbuka ini memberikan cabaran kepada kita untuk meneroka strategi dan kaedah terkini bagi menanganinya," katanya.

Ayob berkata, usaha pencegahan jenayah yang berkesan memerlukan penglibatan aktif oleh semua lapisan masyarakat.

"Saya dimaklumkan bahawa JSJK telah melaksanakan sejumlah 8,863 program pencegahan jenayah di seluruh negara sejak Januari hingga Ogos lalu," katanya.