JOHOR BAHRU - Seorang pemandu bas ekspres berdepan detik cemas apabila kenderaan yang dipandunya itu tiba-tiba terbakar di Kilometer 19.8, Lebuhraya Utara Selatan, arah Selatan.
Bagaimanapun, pemandu wanita berusia 31 tahun itu yang memandu bas berkenaan seorang diri terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Operasi kes tersebut, Pegawai Bomba Kanan II, Abd Malik Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 12.20 tengah hari.
"Sebuah jentera bersama tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Kulai dibantu jentera dengan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Skudai diarahkan ke tempat kejadian.
"Difahamkan bas tersebut dalam perjalanan dari Kluang ke Johor Bahru, namun tiada penumpang ketika kejadian.
"Pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi ditamatkan kira-kira jam 12.53 tengah hari," katanya.
Beliau berkata, punca dan anggaran kerugian masih lagi dalam siasatan.