"MAK dan ayah ‘makan garam’ lebih dulu daripada kamu. Dengarlah cakap kami, orang tua-tua ni.”
Dialog sebegitu bagaikan sudah mangli pada telinga. Terlalu kerap sangat didengari daripada insan di sekeliling yang lebih tinggi pangkatnya.
Adakalanya pesanan yang dikirim memang terang-terangan salah dan jauh daripada kebenaran. Namun begitu, orang yang bercakap itu pula orang tua kita.
Serba salah dibuatnya. Tidak tahu mana yang patut diturutkan. Akhirnya diri sendiri terperangkap dalam dilema.
Seorang pengguna platform X yang dikenali sebagai @Muzuzxck berkongsikan solusi terbaik ketika berhadapan dengan situasi tersebut menerusi bebenang dalam akaun miliknya itu.
Baik ibu bapa mahupun anak-anak, jelas beliau, kedua-dua pihak perlu mengembalikan diri kita kepada seruan agama.
"Mudah kata, takwa kepada ALLAH. Kita semua makhluk ALLAH dan hamba-NYA, maka kembalilah kepada panduan agama, ia akan dapat menenangkan keadaan konflik,” coretnya.
Ia sebagaimana disebutkan jelas dalam hadis Rasulullah SAW yang mana Baginda bersabda:"Tidak boleh taat kepada makhluk pada isu maksiat kepada Sang Pencipta.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Namun begitu, beliau mengingatkan agar pendekatan yang digunakan biarlah secara halus dan berlembut, lebih-lebih lagi terhadap insan yang mengandung, melahir dan membesarkan kita.
"Terangkan dengan cara terbaik dalam menegur mereka,” ungkapnya.
Dalam pada itu, @Muzuzxck menyarankan agar ibu bapa tidak terlalu angkuh atau ego daripada menerima nasihat walaupun daripada anak sendiri yang lebih rendah ‘pangkatnya’.
"Banyak sahaja isyarat dari al-Quran bahawa perbuatan nenek moyang terdahulu tidak benar, bahkan periaku orang yang datang kemudian pula yang lebih tepat.
"Maka janganlah segan silu daripada menerima nasihat. Kita akan lebih dihormati oleh si anak dan lebih dekat dengan rahmat ALLAH jika dapat menerima teguran baik,” titipnya.
Bagaimana pula jika anak sudah menegur ibu bapa mereka, tetapi kedua-duanya tetap tidak mengendahkannya?
Dalam hal itu, Muzuza menasihatkan anak tersebut supaya terus berdoa kepada ALLAH SWT, sambil meneruskan niat murni masing-masing dengan usaha yang betul pada tempatnya.
"Merintihlah kepada ALLAH. Ketahuilah, kesusahan kita menegur perkara yang betul, lalu mendapat ujian daripada ALLAH, insya-ALLAH semuanya itu pahala buat kita,” katanya.
Sebelum menoktahkan tulisannya, Muzuza menitipkan pesanan agar kita banyakkan mentadabbur Surah Luqman untuk mendalami adab dan tatacara berinteraksi antara ibu bapa serta anak.