Kopi percuma untuk OKU setiap hari

Iklan
Nur Nadirah Syuhadah menunjukkan kopi nisang asli yang diagihkan kepada orang ramai gerai Kopi Nisang Asli di jambatan angkat, Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU - Golongan orang kurang upaya (OKU) berdaftar berpeluang menikmati Kopi Nisang Asli atau kopi yang diadun bersama nisan nira kelapa secara percuma di setiap cawangan perniagaan itu pada setiap hari.

Pemilik Kopi Nisang Asli, Nur Nadirah Syuhadah Rahmat, 25, berkata, ia sebagai menghargai golongan berkenaan dan dalam masa yang sama berkongsi rezeki serta memberi peluang kepada mereka untuk sama-sama merasai keenakan kopi yang dihasilkan.

Iklan
Iklan

"Mana-mana pemegang kad OKU boleh mendapatkan kopi percuma di tiga cawangan Kopi Nisang Asli iaitu di Dataran Batu Putih di Marang yang beroperasi pada setiap hari dan satu lagi cawangan di Wakaf Tapai juga di Marang yang dibuka setiap hari kecuali Jumaat.

"Satu lagi cawangan di dataran jambatan angkat (drawbridge) hanya beroperasi pada Khamis, Jumaat dan Sabtu," katanya ketika ditemui pemberita semasa mengagihkan kopi nisang percuma di jambatan angkat, di sini, pada petang Ahad.

Iklan

Menurut Nur Nadirah Syuhadah, agihan kopi percuma itu dilakukan sejak memulakan perniagaan tersebut ketika negara dilanda pandemik Covid-19 tiga tahun lalu.

Nur Nadirah Syuhadah (kanan) melayani orang ramai yang ingin mendapatkan kopi di gerai Kopi Nisang Asli di jambatan angkat, Kuala Terengganu pada petang Ahad.

"Kalau ikutkan dah lebih 40 kali saya buat agihan kopi percuma ni kepada orang ramai dan ia adalah rutin saya untuk berkongsi rezeki.

Iklan

"Dalam masa yang sama saya juga akan lakukan agihan kopi percuma sekiranya ada kesulitan dalam apa jua urusan saya yang dilancarkan oleh ALLAH SWT," katanya yang juga pengasas kopi nisang di Terengganu.

Ibu kepada tiga anak itu memberitahu, sebanyak 900 bekas kopi percuma berharga RM5 setiap satu telah diagihkan pada Ahad dan habis dalam tempoh dua jam.

"Sebanyak enam tong kopi kita agihkan hari ini dengan menggunakan kira-kira 5 kilogram (kg) kopi yang dianggang sendiri di cawangan utama di Dataran Batu Putih.

"Selain itu, kita juga ada bahan tambahan seperti susu dan manisan yang dihasillan daripada nira kelapa.

"Beza agihan kopi percuma di sini berbanding di Dataran Batu Putih, kita ada tambahan aiskrim di cawangan utama yang menjadikannya lebih istimewa dan harganya RM6," katanya yang mempunyai seramai 25 pekerja.