ALOR SETAR - Sejumlah RM677,456.70 bayaran zakat staf Universiti Utara Malaysia (UUM) yang dikembalikan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) bakal memanfaatkan asnaf yang layak.
Penyerahan wakalah agihan zakat tersebut telah disempurnakan oleh Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang kepada Naib Canselor, Profesor Dr. Mohd Foad Sakdan, disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Datuk Zakaria Othman.
Mohd Foad merakamkan ucapan terima kasih kepada LZNK atas pengembalian zakat itu, dan juga kepada semua staf UUM yang telah membuat potongan gaji zakat staf.
Katanya, wakalah agihan zakat tersebut kelak akan diagihkan atau dikembalikan kepada asnaf khususnya staf dan pelajar yang berkelayakan.
"UUM sentiasa menggalakkan staf untuk membuat pembayaran zakat melalui potongan gaji pada setiap bulan, malah sebolehnya menambah lagi jumlah potongan zakat ini dari semasa ke semasa mengikut kemampuan,” katanya ketika Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan dan Wakalah Agihan Balik Zakat Bersama Syarikat Korporat baru- baru ini.
Sementara itu, Zakaria berkata, UUM antara tiga institusi yang menerima pemulangan wang zakat menerusi skim wakalah, selain Universiti Teknologi MARA (RM218,070.39) dan Badan Penasihat Syariah Takaful Malaysia (RM93,750).
"LZNK merakamkan penghargaan kepada 13 syarikat korporat yang menyerahkan zakat perniagaan melibatkan lebih RM3 juta, selain tiga syarikat yang menerima wakalah agihan balik zakat," ujarnya.
Menurutnya, LZNK mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang meletakkan kepercayaan kepada mereka untuk melaksanakan kewajipan mengagihkan zakat di Kedah terutama untuk golongan asnaf yang ditetapkan.
"Ia merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang besar, namun saya yakin dengan kepakaran dimiliki setiap pihak, kita mampu mengurus asnaf di bawah LZNK dengan sebaik mungkin mengikut kerangka dan suasana yang bersesuaian agar golongan tersebut mendapat hak mereka yang sepatutnya.
"Kita ingin mengangkat martabat orang miskin ini melalui kerjasama semua agensi mahupun syarikat dengan berkongsi input untuk pembangunan asnaf di Kedah. Kita mahu Kedah menjadi negeri orang kaya berbakti, miskin berteduh melalui perkongsian rezeki,” katanya.