PRK Pelangai: Golongan muda mahu ekonomi diperkasakan, peluang kerja

Iklan
Gambar dari kiri: Amirul Khairi Hashim, Hanif Mohd Shukur, Nur Sabrina Faqihah Salim

BENTONG - Golongan muda mahu lebih banyak peluang pekerjaan di tempat sendiri menjadi perkara utama dibangkitkan mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Rata-rata mereka berharap wakil rakyat yang diberi mandat kelak benar-benar meletakkan keutamaan untuk merancakkan kegiatan ekonomi di DUN tersebut sekali gus memberi ruang pekerjaan yang lebih luas kepada mereka.

Iklan
Iklan

Penduduk Kampung Baris, Amirul Khairi Hashim, 30, berkata, ramai anak muda yang terpaksa berulang-alik ke luar kawasan sempadan DUN untuk bekerja disebabkan kurangnya pekerjaan di kampung sendiri.

Menurutnya, dia sendiri tidak mempunyai banyak pilihan selepas tamat belajar dan akhirnya memilih meniaga sate sejak tiga tahun lalu di gerai makan yang diusahakan keluarga sejak sekian lama.

Iklan

"Ramai juga yang kerja di Bentong, mereka ulang alik...mereka ni kerja kat luar kerja bengkel, kerja pasar raya," katanya kepada Sinar Harian.

Ketua Pemuda UMNO Kampung Shafie, Hanif Mohd Shukur, 38, turut mengakui hal sama kerana anak-anak muda kebanyakannya melakukan kerja-kerja kampung kerana peluang pekerjaan yang ada terhad kepada sektor pertanian dan penternakan.

Iklan

Katanya, isu akses yang menghubungkan DUN Pelangai dari luar menjadi penentu dalam penyelesaian isu peluang pekerjaan kepada golongan muda khususnya.

"Buka kilang, masukkan pelbagai sektor ekonomi apa sahaja. Saya yakin kalau akses bagus, masalah selesai.

"Sekarang ni, akses lambat, pelabur nak datang pun fikir banyak kali. Walhal Pelangai ni ditengah-tengah...nak ke Negeri Sembilan dekat, nak ke KL (Kuala Lumpur) pun boleh.

"Sebab itu kita nak calon ambil perhatian sebaik-baiknya tentang (sambungan) projek lebuhraya (Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (CSR)) sebab Allahyarham (Datuk Johari Harun) dulu dah bawa untuk bajet 2024," katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Shafie, Nur Sabrina Faqihah Salim, 23, mahu program khas bagi memperkasakan bidang penternakan untuk golongan muda diwujudkan.

Katanya, kawasan DUN Pelangai mempunyai potensi besar untuk mengembangkan bidang penternakan khususnya oleh golongan muda namun memerlukan program-program sokongan.

"Perlu ada pembimbing untuk buat kursus khas, mungkin ada cara lain (boleh diajar) macam mana nak kembangkan lagi.

"Sekarang ni dalam skala kecil, tapi potensi tu ada cuma tak cukup modal dan insentif," katanya.

DUN Pelangai yang terletak di bawah Parlimen Bentong mempunyai sembilan daerah mengundi yang menyaksikan seramai 16,456 orang pemilih.

Seramai 7,679 daftar pemilih bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai adalah berusia antara 18 hingga 39 tahun.