BENTONG - Generasi kedua peneroka Felda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai akan mendapat tempat di kampung sendiri, ikrar calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam.
Beliau berkata, perkara itu menjadi perjuangan yang menjadi keutamaannya jika diberi mandat sebagai wakil rakyat dalam pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu 7 Oktober nanti.
"Sebagai anak tempatan, saya nak perjuangkan apa yang ada di sini untuk belia-belia, anak-anak generasi Felda.
"Ayah-ayah dah ada ladang, ada tanah dan rumah.
"Jadi hari ini kita nak anak-anak muda belia Felda mendapat tempat di kampung sendiri dan ini salah satu yang kita perlu letakkan sebagai perkara utama untuk menjadikan DUN Pelangai ini setara dengan kawasan-kawasan yang lain," katanya pada Isnin.
Beliau ditemui pemberita selepas sarapan pagi dan ramah mesra di Felda Chemomoi.
DUN Pelangai yang terletak di bawah Parlimen Bentong mempunyai sembilan daerah mengundi yang menyaksikan seramai 16,456 pemilih.
Seramai 7,679 pemilih bagi PRK DUN Pelangai berusia antara 18 hingga 39 tahun.
Selain Felda Chemomoi, DUN Pelangai mempunyai dua penempatan Felda iaitu Felda Kemasul dan Felda Kemahal.
Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) terdapat 7,983 pengundi bagi ketiga-tiga Felda tersebut.