ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan sudah memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik.
Beliau berkata, ia berlangsung pada Ahad lepas (minggu lalu) di pejabatnya di Alor Setar.
Menurutnya, SPRM hanya mengambil keterangan dengan mengemukakan empat soalan berkaitan REE, namun tiada sebarang penyerahan dokumen berkaitan.
"Semua sudah selesai. Empat soalan saja, saya bukan orang jahat, nak tanya banyak-banyak. Saya ni dikenali sebagai orang baik, tanya sikit pun cukup dah,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis angkat sumpah Speaker, Timbalan Speaker dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, pada Isnin.
"Saya buat (ambil keterangan) senyap-senyap saja, hangpa (kamu semua) kira nak bagi riuh. Kalau tiap-tiap proses agensi atau jabatan nak kena maklum dalam surat khabar, jahanamlah kerajaan.
"Tak perlu habaq (bagi tahu) SPRM Kedah atau Putrajaya, nanti macam-macam pula spekulasi. Yang penting, saya telah bertemu dengan pegawai SPRM dan beri kenyataan sekitar empat soalan,” ujarnya.
ADUN Jeneri itu berharap segala spekulasi berkaitan dirinya yang dikaitkan dengan kes kecurian REE itu dapat dilenyapkan selepas SPRM selesai mengambil keterangan beliau.
"Selesailah! Jangan duk korek jamu cucur apa, teh tarikkah. Macam-macam hangpa nak tahu. Yang itu bagi malaikat catat. Setiap kerja kita buat malaikat tulis, kerja yang buruk, malaikat belah kiri. Yang baik malaikat belah kanan. Itu buku akhirat,” jelasnya lagi.
Pada 11 September lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan, siasatan tersebut sudah di peringkat akhir namun perlu melihat kepada beberapa perkara dalam konteks undang-undang dan prosedur.
Sebelum itu, SPRM telah memperoleh petunjuk baharu dan ia diteliti terlebih dahulu sebelum memanggil Muhammad Sanusi untuk diambil keterangan.