JOHOR BAHRU - Semangat perpaduan parti dalam Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Johor akan diterjemahkan sepanjang kempen PRK DUN Pelangai.
Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerjasama kukuh yang terjalin antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) telah terbukti menjadi formula dalam memastikan kerusi di Pulai dan Simpang Jeram dapat dipertahankan.
"Semangat Johor ini akan dibawa ke sana (Pelangai) sudah tentu. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar, saya tengok semangat perpaduan semakin erat.
"Kalau mereka (BN) telah bekerja kuat untuk memenangkan PH di Simpang Jeram dan Pulai, kita pula akan membantu mereka sehebat mungkin yang boleh untuk menang di DUN Pelangai," katanya kepada pemberita selepas majlis penghargaan petugas PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di sini.
PH mengekalkan status quo di kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram selepas calon yang dipertaruhkan parti itu, Suhaizan Kaiat dan Nazri Abdul Rahman menang di kedua-dua kerusi berkenaan dengan majoriti selesa.
PRK DUN Pelangai pula menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Datuk Amizar Abu Adam yang mewakili Barisan Nasional (BN), Kasim Samat (Perikatan Nasional) dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 7 Oktober ini manakala 3 Oktober sebagai tarikh pengundian awal. - Bernama