PUTRAJAYA - Wan Ji Wan Hussin dipenjara bermula Isnin selepas gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan di sini, berhubung sabitan kes menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor, pada 11 tahun lalu.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail memutuskan demikian apabila sebulat suara menolak rayuan sabitan Wan Ji kerana mendapati rayuan penceramah bebas berusia 41 tahun itu tidak bermerit.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan rayuan Wan Ji terhadap hukuman dengan memerintahkan dia hanya dipenjara sembilan bulan sebagai mana yang diputuskan Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor pada 9 April 2018.
Semasa membaca keputusan penghakimannya, hakim ini berkata, Wan Ji selaku perayu menyentuh isu Akta Hasutan 1948 dengan mendakwanya sebagai tidak berperlembagaan.
Bagaimanapun, Hadhariah berkata, tiada perkara yang salah mengenai undang-undang berkenaan sebaliknya kebebasan bersuara bukan hak mutlak bagi seseorang untuk berbicara sesuka hati.
Menurutnya, kebebasan bersuara tidak bermaksud semua pihak boleh bercakap dengan sesuka hati, kerana masih terdapat batas yang perlu dijaga.
Malangnya, beliau berkata, perkataan yang dikatakan dalam hantaran Facebook (FB Wan Ji) sememangnya tidak sesuai.
"Kalau (hendak) beri nasihat agama cakaplah dengan perkataan yang baik-baik, jangan guna perkataan yang tidak sesuai terutama terhadap Sultan Selangor kerana sekarang ada 3R (agama, raja, kaum), jadi hati-hati dengan perkataan sensitif ini.
"Jangan menyinggung perasaan atau memperkecilkan seseorang, sebaliknya amal sikap menunduk, jika kita bijak sekali pun dalam ilmu agama, usah memperlekehkan orang lain,” katanya.
Dalam prosiding pada Isnin, Wan Ji diwakili peguam, Muhammad Faiz Fadzil sementara pihak pendakwaan selaku responden diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling.
Pada 10 September 2014, Wan Ji didakwa menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah, termasuk membabitkan isu agama dalam FB dengan nama wanji.attaaduddi.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, di sini, pada 10 pagi, 5 November 2012.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 iaitu denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
Pada 9 Julai 2019, Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman penjara setahun terhadap Wan Ji selepas menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara berhubung pertuduhan menghasut dan menghina terbabit.
Hakim, Datuk Abdul Halim Aman meminda hukuman sembilan bulan penjara yang diputuskan Mahkamah Sesyen pada 9 April 2018, kepada setahun penjara selepas mempertimbangkan rayuan silang pihak pendakwaan.