KEGAGALAN Selangor FC untuk melangkah ke saingan separuh akhir Piala Malaysia mendapat perhatian pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Tunku Ismail mendakwa, Selangor gagal mencapai apa-apa kejayaan dalam tempoh lapan tahun selain mensia-siakan dana RM45 juta yang diperoleh daripada kerajaan negeri.
"Lapan tahun mendabik dada. Lapan tahun cepat berpuas hati. Lapan tahun baling batu sembunyi tangan, lapan tahun 'create hype' dan apabila gagal, berpura-pura jadi mangsa dibuat orang. Lapan tahun diuruskan kaki 'scam' duit kerajaan. Jikalau kepala pun tak betul, ekor pun tak betul," katanya dalam InstaStory miliknya pada Isnin.
Skuad Gergasi Merah itu yang dalam misi meraih kejuaraan ke-34 gagal melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia selepas tunduk 1-3 menerusi agregat kepada Terengganu FC.
Pada aksi suku akhir pertama, Selangor tewas di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak 0-2 sebelum seri 1-1 di laman sendiri dalam aksi timbal balik pada Ahad.
Kali terakhir Selangor memenangi Piala Malaysia pada 2015 selepas menewaskan Kedah dalam perlawanan akhir.
Dalam pada itu, Tunku Ismail turut menyalahkan pengurusan Selangor FC yang menjadi punca kegagalan itu.
"Yang membuat semua keputusan dan beli pemain pihak pengurusan, jadi buat apa nak salahkan jurulatih? Cuba pakai otak. Lebih teruk lagi apabila ada pemilik tak tahu pasal bola sepak," katanya.