SKUAD badminton negara mahu memanfaatkan baki tiga hari untuk membuat persediaan akhir sebelum beraksi dalam acara berpasukan di Sukan Asia Hangzhou 2022 yang akan bermula Khamis ini.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, persiapan terakhir skuad Malaysia di Hangzhou adalah bagi menyesuaikan diri dengan keadaan di China.
"Di sana, kita pasti akan ada latihan, mungkin di sebelah pagi. Latihan itu hanya untuk apa yang perlu sahaja selain untuk kekalkan kemantapan fizikal pemain," katanya ketika ditemui Bernama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Hangzhou, China pada Isnin.
Mengulas lanjut, Rexy berkata, pasukan badminton tekad memburu slot ke separuh akhir acara berpasukan dalam usaha memastikan pingat buat kontinjen Malaysia di temasya empat tahun sekali itu.
Sepuluh pemain lelaki yang turut berlepas ke Hangzhou adalah Lee Zii Jia, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Chen Tang Jie, Ng Tze Yong, Cheam June Wei, Ong Yew Sin, Leong Jun Hao,Teo Ee Yi dan Goh Soon Huat.
Sementara itu pemain perseorangan lelaki negara, Zii Jia yang mengakui agak gementar berdepan saingan di temasya sukan itu tidak mahu terlalu tertekan, sebaliknya ingin mengganggap kejohanan di Hangzhou sama seperti jelajah badminton yang dilaluinya sebelum ini.
"Agak mendebarkan, tapi sudah biasa kerana kami sering bertanding di luar negara. Untuk pertandingan itu saya akan anggap ia seperti pertandingan biasa dan akan lakukan yang terbaik," katanya.
Bekas juara Asia itu akan berentap dalam kejohanan berpasukan bersama Tze Yong, Jun Hao dan June Wei bagi perseorangan manakala beregu negara diwakili oleh Aaron-Wooi Yik, Yew Sin-Ee Yi, Soon Huat-Tang Jie.
Sukan Asia Hangzhou 2022 yang membuka tirai secara rasmi Sabtu lepas, menyaksikan kontinjen negara menghantar seramai 288 atlet untuk bersaing dalam 22 daripada 40 sukan dipertandingkan. - Bernama