PRK Pelangai: Bapa ingatkan Amizar jangan tabur janji bulan bintang

Iklan
Amizar bersama ayahnya Abu Adam (kanan) beramah mesra bersama pengunjung di tapak pasar malam Felda Chemomoi pada kempen PRK DUN) Pelangai. - Foto Bernama

BENTONG -"Usah berjanji bulan bintang semata-mata untuk meraih undi", itu pesan bapa kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai Datuk Amizar Abu Adam.

Abu Adam Duaji, 74, berkata, beliau sering mengingatkan Amizar, anak ketiga daripada tujuh beradik itu supaya hanya berjanji sekiranya perkara itu benar-benar berupaya untuk dilaksanakan terutama dalam kehangatan dan keghairahan berkempen ketika ini.

Iklan
Iklan

"Jangan cakap sahaja, janji itu janji ini, tidak tunai, itu tidak bagus, kita orang Islam kena ingat itu semua, ada hukumnya, dan jika Allah SWT izin Amizar jadi wakil rakyat kali ini, saya harap dia terus pegang pesanan saya ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Isnin.

Abu Adam yang menetap di Felda Chemomoi, di sini berkata, sekiranya keputusan PRK Pelangai memihak kepada Amizar, beliau pastinya akan menjadi 'tukang semak dan periksa' dalam memastikan anaknya itu menunaikan setiap apa yang dijanjikan kepada penduduk.

Iklan

Pada PRK Pelangai 7 Oktober ini, Amizar, 50, yang merupakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong akan berdepan dengan calon Perikatan Nasional, Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.

PRK Pelangai diadakan susulan kematian Datuk Seri Johari Harun, 53, yang merupakan penyandang bagi DUN itu dalam nahas pesawat di Elmina, Selangor pada 17 Ogos lepas. - Bernama

Iklan