ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menasihatkan orang ramai agar tidak mencuri unsur nadir bumi (REE) di negeri ini berikutan mineral tersebut mempunyai nilai yang sangat tinggi.
Beliau berkata, proses untuk mengekstrak mineral berkenaan sangat rumit dan bukan seperti emas atau bijih timah yang mudah diproses.
Menurutnya, hanya syarikat yang memiliki kepakaran teknologi dalam mengekstrak REE boleh menghasilkan mineral tersebut untuk dipasarkan.
"REE merupakan mineral yang rumit untuk diproses, bukan macam bijih timah yang bila diayak boleh nampak bijih. Kalau emas pula bila didulang nampak emas.
"REE bukan macam itu, perlu lalui macam-macam proses sekitar tujuh atau lapan peringkat. Tidak mudah untuk pihak-pihak yang tiada teknologi untuk menghasilkan REE,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis angkat sumpah Speaker, Timbalan Speaker dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Isnin.
Muhammad Sanusi berkata, hanya dua negara memiliki kemahiran dalam mengekstrak dan memproses untuk menghasilkan REE yang terbaik.
"China dan Amerika Syarikat pakar dalam hal REE, namun kedua-dua teknologi itu tidak dipindahkan ke negara luar. Itulah yang sedang kita usahakan agar teknologi tersebut dibawa ke sini atau dibuka kilang di Kedah,” ujarnya.
Menurutnya, bahan mineral itu perlu melalui proses kimia yang panjang serta setiap elemen harus melalui pelbagai proses, menyebabkan ia tidak mudah diekstrak oleh peneroka yang mencuri mineral tersebut.
"Saya nasihat janganlah korek sendiri macam itu. Proses dapatkan REE bukan seperti emas,” katanya lagi.
Pada Ahad, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh memaklumkan polis menahan sembilan lelaki tempatan dan warga asing yang cuba meneroka REE di kawasan Kompartment 35, Hutan Simpan Rimba Teloi, Sik pada 14 September lepas.
Kesemua suspek berusia antara 30-an hingga 60-an telah didakwa bawah Seksyen 47(1) Akta Perhutanan Negara 1984 kerana memasuki hutan simpan tanpa permit serta Seksyen 55B, Seksyen 39B, Seksyen 6(1)c dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 bagi beberapa kesalahan imigresen di Mahkamah Baling.
Op Bersepadu tersebut dijalankan di sekitar kawasan hutan simpan di Sik dan berjaya menahan tiga kenderaan di Kompartment 35.
Turut ditahan empat lelaki tempatan, empat lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga China.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berharap, tiada lagi kes kecurian REE dikesan selepas ini selain meminta orang ramai tidak menceroboh tapak mineral berkenaan.
"Saya sudah lihat laporan Jabatan Perhutanan Kedah berhubung kes berkenaan. Syukur penceroboh telah ditahan dan didakwa.
"Itu memang kerja jabatan dan agensi (berkaitan REE), biarlah mereka lakukan tugas masing-masing dan ada pula yang tambah-tambah ‘kuah’ pula,” jelasnya.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah melakukan beberapa siri pendedahan berhubung kecurian REE di Bukit Enggang, Sik.
Terbaharu, beliau mendakwa terdapat satu lagi kes kecurian REE dalam kawasan milik Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah, di kawasan Bendang Man, Sik, terletak kira-kira 10 hingga 15 kilometer dari Hutan Simpan Bukit Enggang yang merupakan kawasan berlakunya kecurian sebelum ini.
Sebelum ini, pada Februari lalu, media melaporkan 52 lelaki ditahan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) selepas disyaki terbabit aktiviti penerokaan REE secara haram di kawasan Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.
Kecurian mineral terbabit mula didedahkan sejak 3 Oktober tahun lepas, di Hutan Simpan Bukit Enggang dan kemungkinan dicuri pihak tertentu sejak dua tahun lalu.