Malaysia peroleh komitmen pelaburan RM37.4 bilion dalam sektor digital

Iklan
Fahmi (dua dari kiri) hadir pada majlis pelancaran Malaysia Digital Expo (MDX) 2023 di sebuah hotel di Kuala Lumpur, pada Isnin. Turut hadir Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching (dua dari kanan); Ketua Setiausaha KKD Datuk Mohamad Fauzi Md Isa (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Mahadhir Aziz (kanan). - Foto Bernama

PETALING JAYA - Malaysia memperoleh komitmen pelaburan berjumlah lebih RM37.4 bilion merentasi pelbagai sektor teknologi digital setakat Ogos 2023 yang bakal mewujudkan sekurang-kurangnya 15,895 peluang pekerjaan bernilai tinggi, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, pencapaian luar biasa ini mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap rangka kerja Malaysia Digital (MD), inisiatif strategik negara untuk memacu ekonomi digital.

Iklan
Iklan

"Baru-baru ini saja, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan majlis menandatangani tiga memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM19.84 bilion antara syarikat Malaysia dan China, yang mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi menarik untuk pelaburan," katanya semasa merasmikan Malaysia Digital Expo (MDX) 2023, di sini, pada Isnin.

MDX 2023 yang diterajui oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), merupakan inisiatif utama di bawah MD yang bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara digital utama di rantau ASEAN.

Iklan

"Ia menyediakan platform kepada syarikat tempatan dan antarabangsa untuk bekerjasama dan meneroka peluang baharu dalam ekonomi digital serta mempamerkan aset digital Malaysia untuk menarik pelaburan digital bernilai tinggi," kata MDEC dalam satu kenyataan pada Isnin.

Bermula hari ini hingga 8 November 2023, MDX 2023 akan menampilkan beberapa siri acara yang akan diadakan di seluruh negara, termasuk persidangan, bengkel, pameran dan sesi rangkaian, yang kemudiaannya diakhiri dengan majlis anugerah dan makan malam eksklusif MDX.

Iklan

Acara itu dijangka menarik lebih 150,000 peserta dari seluruh dunia, termasuk pelabur, usahawan, pemula niaga teknologi, persatuan perdagangan, penggubal dasar dan profesional digital.

MDX 2023 disokong oleh beberapa acara sampingan seperti Malaysia Digital Content Festival 2023, Malaysia-Japan Digital Exchange, World Congress Information Technology on Innovation and Technology 2023, Malaysia Cloud and Datacenter Convention 2023 dan #mydigitalmaker Fair 2023 Finale.

Senarai acara MDX 2023 termasuklah Persidangan dan Ekspo Antarabangsa Melaka Pintar (SMIX) 2023, Persidangan Kecerdasan Buatan Malaysia United Kingdom (UK) 2023 dan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor ke-7 2023.

Barisan penceramah dan ketua industri terkemuka yang menghadiri acara pada tahun ini ialah Ricky Kapur, ketua APAC Zoom; Melvin Ooi, ketua pegawai eksekutif Bank Digital YTL-SEA; Eric Chang, pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Carsome; Dr Raymond Choy, pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif Doc2U; Hiroyuki Kato, pengarah Japan Peppol Authority dan Zack Kass, ketua GTM di OpenAI, pemaju ChatGPT.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai MDX 2023 boleh layari www.mdec.my/mdx. - Bernama