MOSCOW - Seorang individu membaling dua bom molotov ke kedutaan Cuba di Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Luar Cuba Bruno Rodriguez Parrilla pada Isnin.
Tiada petugas yang cedera dalam serangan itu, lapor Sputnik.
"Pada petang 24 September, Kedutaan Cuba di AS menjadi sasaran serangan pengganas oleh seorang individu yang melontar dua bom molotov. Kakitangan tidak mengalami sebarang kecederaan. Siasatan lanjut sedang dijalankan," kata Parrilla di akaun X (Twitter).
Beliau berkata ia merupakan serangan kedua ke atas kedutaan negara itu di Washington sejak 2020, sebelum ini seorang individu melepaskan tembakan ke arah kedutaan.
"Kumpulan anti-Cuba menggunakan keganasan kerana mereka beranggapan akan bebas daripada hukuman, amaran yang berulang kali dibuat oleh Cuba kepada pihak berkuasa AS," kata Parrilla.
Menteri Luar Venezuela Yvan Gil mengutuk serangan itu.
"Kami mengutuk serangan pengganas terhadap integriti kedaulatan Cuba itu," kata Gil di X.
Beliau berkata, Venezuela menyatakan solidaritinya dengan rakyat dan pihak berkuasa Cuba. - Bernama